Helikopter tentera AS terhempas, 31 terbunuh

PULI ALAM, Afghanistan 6 Ogos - Sebanyak 31 orang anggota pasukan khas Amerika Syarikat (AS) dan tujuh tentera tempatan terbunuh apabila helikopter yang mereka naiki terhempas akibat terkena tembakan roket pejuang Taliban di sini, semalam.

Menurut jurucakap pejabat Gabenor Wardak, helikopter Chinook itu terhempas dalam serangan militan Taliban di timur wilayah Wardak, di barat daya Kabul.

Jurucakap Taliban, Zabiullah Mujahid mengesahkan kumpulan militan itu bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.

Sebanyak 25 mangsa yang terbunuh terdiri daripada anggota tentera marin AS, lapor rangkaian televisyen ABC News.

Ia merupakan nahas terburuk membabitkan tentera asing di Afghanistan sejak tentera AS dan barat menawan negara ini pada 2001.

Kali terakhir korban terbesar membabitkan tentera bersekutu di Afghanistan ialah pada 2005 apabila 16 tentera AS terbunuh dalam serangan roket Taliban ke atas helikopter Chinook di wilayah timur Kunar.

Komander tentera Afghan bagi wilayah itu, Jeneral Abdul Razeq mengesahkan helikopter itu ditembak jatuh akibat terkena tembakan roket musuh. - AFP

Comments

Popular Posts