Tiger Airways dibenar terbang

Salah sebuah pesawat Tiger Airways di Lapangan Terbang Tullamarine di Melbourne, Australia. - AFP

MELBOURNE 10 Ogos - Tiger Airways Australia milik Singapura telah diberi kebenaran untuk terbang semula, selepas kira-kira enam minggu dilarang terbang oleh pengawal atur keselamatan udara.

Pengarah Keselamatan Penerbangan Civil Aviation Safety Authority (CASA) Australia John McCormick mengumumkan penarikan balik penggantungan itu berkuat kuasa serta merta, di Brisbane hari ini.

Australian Associated Press memetik McCormick sebagai berkata bahawa satu set syarat baharu telah dikenakan terhadap syarikat penerbangan itu, yang meliputi latihan dan kemahiran juruterbang, jadual juruterbang dan pengurusan keletihan, kekerapan dan semakan semula manual operasi, mempertingkatkan proses perubahan pengurusan dan pindaan sistem pengurusan keselamatannya.

CASA menghentikan penerbangan syarikat penerbangan itu pada 1 Julai, dengan memberikan sebab kebimbangan mengenai latihan juruterbang, pengurusan keselamatan dan sistem keselamatan menyeluruhnya.

Langkah itu adalah berikutan dua insiden di mana para juruterbang Tiger terbang terlalu rendah di Lapangan Terbang Melbourne pada Jun. - Bernama

Comments

Popular Posts