MAS dijangka untung tahun depan

TONY Fernandes dan Pengerusi AirAsia X, Tan Sri Rafidah Aziz (tengah) meyampaikan sumbangan sempena Hari Raya Aidilfitri kepada 100 anak-anak yatim dari sekitar ibu negara pada majlis berbuka puasa anjuran syarikat penerbangan itu di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Malaysian Airline System Bhd. (MAS) dijangka mencatatkan keuntungan dalam tempoh enam bulan tahun kewangan 2011.

Ahli Lembaga Pengarahnya, Tan Sri Tony Fernandes berkata, dengan pengurusan yang segar dan baru beliau yakin ia mampu dilakukan pada tahun depan.

Menurutnya, MAS mempunyai masa depan yang cerah, malah berupaya menandingi Singapore Airlines satu hari nanti.

"MAS dan AirAsia akan memberi pilihan kepada orang ramai. Jika MAS adalah penerbangan kelas premium, kami adalah penerbangan tambang murah.

"Perkara ini baik kerana membolehkan kedua-dua pihak menggunakan sumber secara optimum," katanya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd. pada majlis berbuka puasa anjuran AirAsia bersama anak-anak yatim di sini, semalam.

MAS mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM527 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2011.

Menyentuh tentang calon Pengarah Urusan MAS yang baru, Fernandes berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada Pengerusi syarikat penerbangan kebangsaan itu, Tan Sri Md Nor Yusof.

Sementara itu, Fernandes memberitahu, AirAsia yakin mencatatkan prestasi kewangan yang baik pada separuh kedua tahun kewangan semasa selepas berjaya mencatatkan keputusan yang memberangsangkan bagi enam bulan pertama tahun ini.

Katanya, separuh kedua tahun ini lebih menarik lebih-lebih lagi syarikat itu telah menambah laluan ke Indonesia, pengenalan AirAsia Filipina dan Vietnam serta ke Jepun.

"Pada kebiasaannya, jika keputusan kewangan pada separuh pertama baik, berkemungkinan besar trend itu dapat diteruskan pada separuh kedua. Saya gembira apa yang berlaku di syarikat ini pada masa ini," jelas beliau.

Kata beliau, kami merupakan antara syarikat penerbangan yang mampu mencatatkan prestasi kewangan yang positif walaupun menghadapi situasi harga bahan bakar yang tidak menentu.

AirAsia telah merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM145 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2011 lalu, iaitu peningkatan sebanyak 0.6 peratus. Manakala keuntungan bagi suku pertama lalu berjumlah RM202 juta.

Pada masa sama, beliau tidak bersetuju dengan langkah menaikkan bayaran perkhidmatan penumpang antarabangsa (PSC) kerana ia menyekat orang ramai untuk menikmati perjalanan mereka.

"Tidak mengapa bayaran dinaikkan jika pengguna dibalas dengan kemudahan prasarana dan perkhidmatan yang berkualiti, malangnya kesemua itu tidak seperti diharapkan," kata beliau.

Tambah Fernandes, cadangan tersebut juga akan menjejaskan kedatangan pelancong terutama selepas usaha berterusan syarikatnya menawarkan tambahan laluan baharu dan kekerapan penerbangan.

"Kami sedang berbincang dengan kerajaan agar perkara ini boleh diselesaikan secara positif," ujarnya.

Mengenai bajet 2012, beliau mahu kerajaan mempermudahkan proses kemasukan pelancong khususnya daripada negara kuasa baru ekonomi seperti China dan India kerana pelancong dari negara tersebut semakin meningkat.

Comments

Popular Posts