Pesawat Red Arrows terhempas ketika beraksi
Pesawat yang dipandu Leftenan Jon Egging terhempas di kawasan padang di perkampungan Throop, beberapa ratus meter dari lapangan terbang Bournemouth, selepas mengambil bahagian dalam pertunjukan akrobatik udara bersama Tentera Udara Diraja Britain (RAF).
Menurut perkhidmatan kecemasan, Egging, 33, tercampak keluar dari pesawat itu apabila ia terhempas kira-kira pukul 12.46 tengah hari waktu Malaysia.
Juruterbang tersebut meninggal dunia di tempat kejadian.
Pesawat tersebut dipercayai hilang kawalan ketika Egging cuba melakukan pendaratan sebelum terhempas.
Dalam pada itu, pihak berkuasa menyatakan masih terlalu awal untuk membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.
Ketika kejadian, isteri juruterbang tersebut, Emma Egging sedang menyaksikan pertujukan suaminya.
"Menyaksikan aksinya hari ini membuat saya berasa sangat bangga. Saya menyukai semua tentangnya dan dia akan dirindui," katanya.
Egging telah berkhidmat lebih sedekad bersama RAF dan pernah ditempatkan di Afghanistan bagi membantu Britain memerangi pemberontak Taliban. - AFP
Comments