Pesawat terbabas putus dua di Guyana

pesawat jet Caribbean Airlines terputus dua setelah terbabas dari landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Cheddi Jagan di Georgetown, Guyana, kelmarin. - REUTERS

GEORGETOWN, Guyana 31 Julai - Sebuah pesawat syarikat penerbangan Caribbean Airlines yang sarat dengan penumpang tergelincir dari landasan ketika mendarat di Guyana malam tadi sebelum terputus dua, namun ia tidak mengakibatkan sebarang kematian.

Pesawat Boeing 737-800 dari New York itu tersasar dari landasan dan merempuh pagar sejurus mendarat di lapangan terbang Cheddi Jagan, di sini tengah malam tadi.

Pesawat malang berkenaan terputus dua dan berhenti hanya beberapa meter dari gaung.

Hanya tiga daripada 163 penumpang dan anak kapal mengalami kecederaan dengan seorang daripadanya patah kaki.

"Ia memang satu keajaiban kerana nahas ini tidak menyebabkan kematian," kata Pengerusi Caribbean Airlines, George Nicholas yang melawat tempat kejadian.

Para penumpang dilaporkan menjerit apabila pesawat tersebut hilang kawalan sejurus mendarat dan mereka berpusu-pusu keluar dari kapal terbang menggunakan gelongsor kerana bimbang ia mungkin terbakar.

Syarikat penerbangan Caribbean Airlines yang berpangkalan di Trinidad and Tobago berkata, pihaknya masih belum dapat mengenal pasti punca kejadian yang berlaku ketika cuaca elok dan jarak penglihatan baik.

Penyiasat dari Amerika Syarikat (AS) dan Guyana telah dihantar bagi mencari kotak hitam pesawat.

Stesen penyiar Canadian Broadcasting Corporation melaporkan, seramai 12 rakyat Kanada berada dalam penerbangan itu, sementara kebanyakan penumpang lain merupakan rakyat Guyana.

Hospital Besar Georgetown dalam satu kenyataan memberitahu, seramai 35 penumpang kini dirawat termasuk juruterbang, Edinburgh Gardens, 52 tahun.

Comments

Popular Posts