MAS-AirAsia, dulu seteru kini sekutu

JIKA rancangan kerjasama strategik MAS dan AirAsia yang dijadual memeterai perjanjian hari ini menjadi kenyataan, ia merupakan satu catatan sejarah yang bakal mengubah landskap industri penerbangan negara.

Sedang gergasi penerbangan antarabangsa serius mengambil langkah penggabungan, kerjasama MAS-AirAsia yang diketahui umum sejak sekian lama bercakaran, adalah selari dengan perubahan operasi syarikat-syarikat penerbangan lain.

Melalui kerjasama itu, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) akan menyerahkan 20 peratus saham MAS kepada pengasas AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dan Datuk Kamarudin Meranun. Sebagai timbal balik, Khazanah akan menguasai peratusan jumlah saham yang hampir sama dalam AirAsia Berhad dan AirAsia X Sdn. Bhd.

Bagaimanapun, Khazanah masih memiliki kira-kira 49 peratus saham MAS untuk terus mengekalkan penguasaan tunggal di dalam syarikat penerbangan itu.

Kesepakatan pertukaran saham ini akan merintis jalan bagi hubungan yang mesra dan harmoni antara kedua-dua keluarga besar MAS dan AirAsia yang masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan.

Tidak ada lagilah tuduh menuduh, curiga mencurigai dan dengki mendengki. Tidak ada lagilah orang MAS bercerita buruk AirAsia dan orang AirAsia pula membesar-besarkan keburukan MAS.

Kini mereka ibarat satu keluarga yang diikat melalui kepentingan pemilikan saham. Jika MAS gagal, ia akan turut mengheret AirAsia, begitu juga sebaliknya. Umpama cubit paha kanan terasa paha kiri.

Jadi, kedua-duanya tidak boleh gagal dalam menjayakan kesepakatan itu tetapi perlu saling bekerjasama khususnya dari aspek hak dan pembahagian laluan yang sebelum ini menjadi isu besar antara MAS dan AirAsia.

Untuk misi yang lebih besar, kesepakatan ini akan memudahkan MAS dan AirAsia merangka pelan dan strategi menghadapi persaingan serantau dan antarabangsa termasuk dari syarikat penerbangan Asia Barat yang kini melambakkan pasaran ke Asia selepas peristiwa 911.

Begitu juga seharusnya tidak timbul lagi isu 'budak nakal' atau 'kaki buli'. Dengan ikatan pertukaran pemilikan saham ini, MAS akan diasak untuk berfikir seperti AirAsia. Begitu juga AirAsia akan lebih memahami rentak tari MAS yang umumnya perlu mendahulukan kepentingan negara.

Mengikut ceritanya, bukanlah mudah untuk menyatukan kelompok MAS dan AirAsia ini. Ada tembok pemisah yang perlu dipecahkan terlebih dahulu. Masing-masing mempunyai ego sehingga perundingan dikatakan memakan masa bertahun sebelum mencapai tahap menyepakati persefahaman.

Begitulah lumrah apabila terlalu lama bercakaran. Kalau ada luka, ia memakan masa untuk disembuhkan. Permohonan maaf sahaja belum tentu mencukupi.

Sebab itu, perjanjian ini diharap dapat menjadi ubat yang dapat menyembuhkan luka yang mungkin ada. Manfaat daripada perjanjian ini sekali gus akan terus memartabatkan jenama Malaysian Hospitality (MH) dan Kini sesiapa pun boleh terbang.

Begitupun persoalan lebih besar yang perlu tercermin daripada kesepakatan itu ialah apakah manfaatnya kepada rakyat dan negara ini? Mungkinkah tambang akan lebih kompetitif berikutan kesepakatan ini secara tidak langsung membentuk ikatan seperti monopoli?

Juga persoalan mungkinkah kedua-dua penerbangan akan lebih efisien dan mampu memenuhi mutu perkhidmatan bertaraf antarabangsa? Mungkinkah rungutan khususnya mengenai sistem AirAsia yang 'mendera' penumpang dengan alasan klise 'tambang murah' boleh diatasi?

Yang jelas, hasil daripada kesepakatan ini MAS dan AirAsia walaupun kekal sebagai entiti berbeza, akan saling melengkapi. Salah satunya, MAS boleh belajar daripada kecekapan AirAsia yang kini menjadi peneraju dalam industri penerbangan.

Sumber manusia AirAsia yang disifatkan lebih jitu dan komited tentu sekali boleh mengubah sikap dan mentaliti sebilangan kakitangan MAS yang selalu digembar-gemburkan kurang bersemangat itu.

Kehadiran kelompok bertenaga AirAsia ini barangkali mampu mengubah sikap dan cara kerja sebilangan kakitangan MAS itu yang didakwa turut menjadi faktor penghalang kepada kejayaan pelan-pelan transformasi MAS sebelum ini, selain faktor usia pesawat.

Begitu juga syarikat tambang murah itu boleh berkongsi kepakaran kejuruteraan canggih yang dimiliki oleh MAS. Dalam aspek ini, sumber MAS dapat dimanfaatkan dengan pesawat AirAsia diselenggara sepenuhnya di dalam negara bukan seperti amalan sekarang.

Mungkin juga kesepakatan ini dapat memulihkan MAS yang selalu dibelenggu dengan masalah kerugian. Bagi suku pertama berakhir 31 Mac lalu, MAS mencatatkan kerugian bersih RM242.3 juta berbanding keuntungan RM310.6 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Jika langkah drastik tidak dilakukan segera, menjelang penghujung tahun nanti tidak mustahil kerugian MAS boleh mencecah RM1 bilion - sesuatu yang perlu dielakkan.

Secara perbandingan pula, AirAsia mencatatkan keuntungan RM171.9 juta bagi suku pertama tahun ini dan merekodkan keuntungan RM1.5 bilion bagi keseluruhan tahun kewangannya tahun lalu. Dari segi nilai AirAsia juga jauh lebih baik iaitu RM11 bilion berbanding MAS yang bernilai RM5.3 bilion.

Dalam kedudukan ini, AirAsia dilihat dalam kedudukan 'menang'. Tetapi mengambil semangat kesepakatan itu, sebenarnya pihak yang menang adalah Malaysia yang kesan akhir akan memberi manfaat kepada rakyatnya.

Comments

Popular Posts