AirAsia tambah pesawat lagi

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd. (AirAsia), Tan Sri Tony Fernandes berkata beliau sedang mengadakan perbincangan dengan Airbus SAS untuk menambah tempahan pesawat Airbus, A320 dengan lorong laluan tunggal.

Syarikat penerbangan tambang murah itu sedang mengkaji untuk mengubah tempahan yang dilakukan selepas bersetuju membeli 200 pesawat A320-neo bernilai AS$18 bilion (RM52.2 bilion) pada Jun lalu, kata Fernandes di London.

''Ia masih awal tetapi kami mempunyai pilihan untuk menambah 100 pesawat.

''Sudah pasti kami memerlukan lagi. Saya secara konsisten berkata kami memerlukan 500 pesawat,'' katanya dalam laporan yang dipetik oleh agensi berita di sini.

AirAsia memerlukan lebih banyak pesawat ekoran perjanjian dengan Malaysian Airline System Bhd. (MAS) menurut Fernandes yang merupakan Pengarah kedua-dua syarikat itu.

Kontrak sedia ada merupakan yang terbesar bagi Airbus daripada segi jumlah tempahan.

Fernandes ketika ditemui di kelab bola sepak Queens Park Rangers selepas bersetuju membeli 66 peratus kepentingan milik Bernie Ecclestone dan rakannya, Flavio Briatore hari ini berkata, urusniaga itu adalah lebih baik dari jangkaan beliau.

Sementara itu, firma penyelidikan tempatan, MIDF Research berkata, pendapatan AirAsia untuk separuh pertama tahun ini dijangka melonjak 4.6 peratus kepada RM442.3 juta berbanding setahun lalu.

Syarikat itu yang dijangka mengumumkan keputusan suku keduanya minggu depan, menyaksikan kilometer tempat duduk sedia adanya (ASK) untuk separuh pertama 2011 meningkat 7.9 peratus tahun-atas-tahun kepada 12.810 bilion.

Untuk pendapatan kilometer penumpang (RPK) pula, ia menambah 23.2 peratus tahun-atas-tahun kepada 10.358 bilion.

"Untuk suku kedua, kami menjangkakan pendapatan mencecah RM270.4 juta, lonjakan 35.9 peratus tahun-atas-tahun," kata MIDF Research dalam laporannya hari ini.

Jumlah penumpang yang dibawa dalam suku kedua menambah 14.9 peratus tahun-atas-tahun kepada 4.5 juta sementara faktor muatan tempat duduk naik empat mata peratusan kepada 81 peratus dengan kenaikan 9.1 peratus tahun-atas-tahun dalam kapasiti tempat duduk kepada 5.5 juta.

"Juga, kami menjangkakan yang AirAsia akan memperlihatkan prestasi baik dalam separuh kedua 2011, dan ini terbukti daripada prestasi menggalakkan yang berterusan seperti yang ditunjukkan oleh statistik operasi bulan Julainya, kata syarikat itu.

Sementara itu, MIDF telah menyarankan 'beli' ke atas saham syarikat itu dengan harga sasaran RM4.60.

Comments

Popular Posts