AirAsia pindah operasi ke Gatwick

Pengarah Komersial Lapangan Terbang Gatwick Guy Stephenson (tiga dari kiri) dan Darren Wright (tiga dari kanan) bersama kakitangan AirAsia X menunjukkan poster mengenai operasi baharu AirAsia di Lapangan Terbang Gatwick.
LONDON 25 Okt. - AirAsia X secara rasminya memindahkan operasinya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Stansted London ke Lapangan Terbang Gatwick.
Penerbangan pertamanya dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Gatwick pada pukul 3.55 petang waktu tempatan.
Bersempena dengan itu, AirAsia X menawarkan peluang kepada para penumpangnya untuk berjalan di sepanjang jalan di Istana Buckingham, untuk meneroka pelbagai muzium dan monumen hanya pada kadar serendah RM689 dari Kuala Lumpur ke London.
Bagi yang mahukan pengalaman mewah bagi penerbangan jarak jauh, AirAsia X menawarkan tambang sebanyak RM3,389 untuk kelas premium.
Dalam kenyataan di sini hari ini, AirAsia X berkata, perpindahan itu bertujuan menyediakan para pelanggan dengan pilihan hubungan yang lebih banyak bagi laluan domestik dan antarabangsa.
''Dengan hubungan yang lebih baik ke pelbagai negara dan bandar, AirAsia X berharap untuk mendapat lebih banyak pelanggan daripada cabang rangkaian di Asia Tenggara dan meneroka peluang lebih besar di London dan Eropah melalui Lapangan Terbang Gatwick,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ketua Komersial AirAsia X, Darren Wright percaya perpindahan ini akan membantu pengembangan laluan kerana syarikat penerbangan jarak jauh itu memberi lebih banyak pilihan hubungan.
''Selain itu, kami akan terus memainkan peranan meneruskan moto 'Semua orang boleh terbang jarak jauh' dengan menyediakan nilai bagi wang untuk kadar tambang dan promosi kepada pengembara Asia Tenggara untuk menikmati pengalaman di Eropah dan London,'' ujarnya.
AirAsia X akan memulakan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Gatwick sebanyak tiga penerbangan seminggu bagi bulan November dan menambah sehingga lima atau enam penerbangan pada Disember ini sehingga Mac 2012.

Comments

Popular Posts