KAYM kini miliki dua pesawat Eagle 150B
KAYM kini miliki dua pesawat Eagle 150B
MELAKA 11 Okt. - Pada awal tahun ini Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi institusi pengajian tinggi (IPT) pertama di negeri ini memiliki pesawat Boeing 737 bagi kemudahan pengajian pelajar Aeronautik kolej itu.
Keupayaan tersebut ditingkatkan lagi apabila berjaya memiliki dua pesawat Eagle 150B yang diperolehi daripada Composites Technology Research Malaysia Sdn. Bhd. (CTRM) Batu Berendam di sini.
Ketua Eksekutif KAYM, Datuk Saroni Judi berkata, usaha itu seiring dengan komitmen kolej tersebut untuk memajukan pengajian aeronautik menerusi penubuhan Pusat Pembangunan Aeronautik (ADC) KAYM sedia ada.
"Melalui penubuhan ADC, kita akan berusaha meningkatkan pencapaian bidang pengajian aeronautik demi melahirkan lebih ramai tenaga profesional yang berkemahiran dan memiliki lesen jurutera penyelenggaraan pesawat atau LAME," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Katanya, keupayaan KAYM memiliki dua pesawat Eagle 150B melengkapkan penyediaan kemudahan pengajian aeronautik yang sebelum ini bergantung kepada penggunaan pesawat Boeing 737 sebagai alat sokongan pembelajaran.
"Dengan mempunyai tambahan alat sokongan pembelajaran misalnya dua pesawat Eagle 150B, ini membuktikan komitmen KAYM dalam menyediakan kemudahan pengajian yang lebih baik untuk para penuntut khususnya dalam bidang aeronautik," ujarnya.
Jelas beliau, program pengajian aeronautik KAYM yang mula diperkenalkan Februari lalu mendapat sambutan menggalakkan daripada penuntut dan ibu bapa, namun pengambilan hanya dihadkan kepada 20 orang setiap empat sesi setahun.
"Dua pesawat Eagle 150B akan menjadi salah satu bentuk model pengajaran dan pembelajaran untuk rujukan secara praktikal kepada pelajar-pelajar LAME tanpa perlu ke mana-mana pusat akademik udara yang lain," katanya.
Comments