Akta Angkasa akan diwujud

PUTRAJAYA 10 Okt.- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi akan mewujudkan Akta Angkasa bagi mengawal selia segala aktiviti membabitkan ruang angkasa negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, kementerian dengan kerjasama Agensi Angkasa Negara (Angkasa) sedang berusaha mewujudkan dasar dan Akta Angkasa bagi mengawal segala aktiviti dan operasi berkaitan sektor angkasa termasuk pelancaran dan pengoperasian satelit.

Menurutnya, draf pertama akta tersebut dijangka dibentangkan pada pertengahan tahun depan memandangkan ia memerlukan perbincangan banyak pihak sebelum dilaksanakan.

“Perbincangan tersebut melibatkan banyak pihak termasuk syarikat swasta yang menjadi peneraju teknologi sains negara.

“Ketika ini kerajaan hanya menggunakan undang-undang sedia ada yang ditetapkan Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) bagi menjaga dan mengawal setiap aktiviti melibatkan ruang angkasa negara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Ongkili melancarkan Sambutan Ulang Tahun Program Angkasawan Negara Keempat di ibu pejabat Angkasa di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kementerian juga sedang mempergiatkan usaha untuk mempromosikan sains dan matematik dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda.

Katanya, usaha tersebut bertujuan menyemarakkan minat golongan remaja terhadap sains dan matematik sebagai subjek penting dalam memantapkan lagi modal insan dan kemahiran.

“Ia juga langkah awal kementerian untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berinovasi tinggi menjelang 2020 seperti dicanang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2012.

“Sains angkasa adalah salah satu daripada cabang sains yang berpotensi untuk diterokai dengan meluas,” katanya.

Sementara itu, katanya, Malaysia melalui Angkasa juga telah menjalin kerjasama dengan Agensi Penerokaan Angkasa Lepas Jepun melalui program sains angkasa khususnya sains mikrograviti sejak 2007.

Terbaru, katanya, Malaysia bersama beberapa negara ASEAN lain berpeluang menghantar biji benih cili mereka untuk dibawa ke ISS bagi memantau perkembangan cili berkenaan dalam persekitaran mikrograviti di ISS.

Beliau memberitahu, peluang itu datang selepas Malaysia diberi peluang menyertai program penyelidikan di Modul Eksperimen Jepun dan penyelidikan sains mikrograviti melalui penerbangan parabola yang terbuka kepada pelajar siswazah di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan pelajar IPTS.

Comments

Popular Posts