MAS ambil alih khidmat jet Firefly

KUALA LUMPUR 18 Okt. - Kumpulan Malaysia Airlines (Kumpulan MAS) akan melaksanakan program rasionalisasi rangkaian, yang bakal menyaksikan anak syarikatnya, Firefly, menumpukan kepada operasi turboprop jarak dekat dan Malaysia Airlines meningkatkan penawaran perkhidmatan premium penuh.

Operasi turboprop Firefly tidak terjejas dalam proses ini, kata kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Pengambilan alih perkhidmatan jet Firefly oleh kumpulan itu merupakan sebahagian daripada pelan pemisahan perkhidmatan menerusi penjajaran semula perniagaan bagi menangani kerugian besar yang dialami oleh operasi jet Firefly, katanya.
"Pengambilan alih perkhidmatan jet merupakan usaha penting proses penjajaran perniagaan Kumpulan yang dilaksanakan berdasarkan keperluan bagi menjayakan pelan penstrukturan rangkaian dan barisan pesawat untuk perkhidmatan jet jarak dekat.
"Menerusi penyepaduan operasi jet Firefly dalam Kumpulan itu, Malaysia Airlines akan memberi tumpuan terhadap mengembangkan segmen perkhidmatan premium penuh," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ahmad Jauhari Yahya.

Program akan dilaksanakan dalam tempoh dua bulan mengikut sektor, dan akan menyebabkan semua pesawat jet Firefly ditugaskan dalam operasi Malaysia Airlines menjelang 4 Disember 2011.

"Kumpulan Malaysia Airlines terus komited terhadap perkhidmatan di Sabah dan Sarawak dan akan terus mengurus semua perkhidmatan ke Kota Kinabalu dan Kuching.
Selain itu, MAS Wings juga akan meneruskan penerbangan ke tempat lain di Sabah dan Sarawak yang kini mendapat perkhidmatan berkenaan," katanya.

Operasi turboprop Firefly dari Lapangan Terbang Subang dan Pulau Pinang akan diperkukuh menerusi penyerahan dua pesawat turboprop tambahan baru-baru ini.
Pesawat ini akan membolehkan Firefly memperkenal semula perkhidmatan Subang-Kuantan-Subang serta meningkatkan kekerapan perkhidmatan di laluan sedia ada, kata Ahmad Jauhari.

Kumpulan itu turut memberi jaminan kepada penumpang bahawa ia akan meneruskan penerbangan bagi tempat duduk penerbangan jet Firefly yang dijual.
"Kumpulan itu komited meminimumkan impak sebarang gangguan pelan perjalanan penumpang jet Firefly, dan akan memastikan mereka sampai ke destinasi masing-masing," katanya.

Comments