Kumpulan pertama berlepas ke Mekah

KUALA TERENGGANU 30 Sept. - Sebanyak tujuh penerbangan membawa jemaah haji ke tanah suci Mekah mula beroperasi di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini bermula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat berkata, ia melibatkan seramai 3,129 jemaah haji dari zon timur merangkumi tiga negeri iaitu Terengganu, Pahang dan Kelantan.

Katanya, penerbangan kedua dari LTSM ialah pada 1 Oktober dan diikuti pada 5 dan 6 Oktober serta 16, 17 dan 18 Oktober.

"Setiap penerbangan yang membawa 447 jemaah itu menggunakan pesawat Penerbangan Malaysia dengan penerbangan terus ke Madinah atau Jeddah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis meraikan keberangkatan 447 jemaah haji pertama dari Kuala Terengganu ke Arab Saudi di LTSM, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Asha'ari Idris; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepuh, Muhammad Ramli Nuh dan Pengarah Tabung Haji negeri, Mohammad Mokhzani Mukhtar.

Tambah Khazan, kira-kira 300 kakitangan dari 18 agensi kerajaan termasuk Polis, Jabatan Kesihatan, Jabatan Pertahanan Awam, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu serta Jabatan Kastam dan Imigresen membantu melancarkan operasi penerbangan haji di LTSM.

"Urusan penerbangan jemaah haji yang masuk tahun keempat itu sehingga kini berjalan dengan lancar dan sempurna," ujarnya.

Sementara itu, seorang jemaah haji, Mohd. Salleh Mohd. Noor, 71, dari Gong Badak, dekat sini semasa ditemui berkata, dia yang berkerusi roda bersyukur kerana akhirnya dapat menunaikan ibadah haji selepas lebih 30 tahun menyimpan hajat.

"Sudah lama pakcik tunggu. Masa anak pakcik masih bersekolah, pakcik dah baca buku-buku tentang ibadat haji," kata warga emas itu yang ke Mekah bersama anaknya, Ahmad Noor Rashidi, 36, seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Kelantan.

Bagi Nurul Huda Che Deraman, 26, pula, dia yang berasal dari Kesom, Manir dekat sini berasa bertuah kerana berpeluang mengerjakan ibadat itu dalam usia muda.

"Memang ini hajat saya dari sekolah menengah lagi. Selepas dapat kerja, impian saya untuk tunaikan haji sebelum berkahwin dan membeli kereta," kata kakitangan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) itu.

Comments

Popular Posts