Bekas Pengarah Transmile didenda, penjara

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Dua bekas Pengarah Bukan Eksekutif Transmile Group Bhd. (Transmile) didenda RM300,000 dan penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan mengemukakan pernyataan mengelirukan dalam laporan syarikat kargo tersebut kepada Bursa Malaysia Securities Bhd.
Jika gagal membayar denda tersebut, hukuman penjara ke atas kedua-dua tertuduh, Chin Keem Feung, 46, yang kini merupakan seorang peguam dan Shukri Sheikh Abdul Tawab, 47, yang tidak mempunyai pekerjaan tetap sejak didakwa di mahkamah, boleh ditambah enam bulan lagi.
Kedua-duanya bagaimanapun berjaya mendapat penangguhan pelaksanaan hukuman selepas Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh membenarkan permohonan mereka.
Hakim itu menjatuhkan hukuman tersebut pada akhir kes pembelaan selepas meneliti keterangan 11 saksi pendakwaan dan keterangan bersumpah kedua-dua mereka.
Ketika membacakan keputusannya, hakim menyatakan, pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shanti Geoffrey dan dibantu oleh pegawai pendakwa, Nor Rifhan Rozi manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohd. Firuz Jaffril dan Tan Hock Chuan.
Keem Feung dan Shukri, didakwa pada 14 November 2007 atas tuduhan secara sedar memberi kuasa untuk mengemukakan pernyataan yang mengelirukan berhubung syarikat Transmile di dalam Laporan Keputusan Kewangan Sebelum Audit Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2006.
Pertuduhan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 122B(b)(bb) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 122B akta sama yang memperuntukkan hukuman denda RM3 juta atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.
Ketika mengemukakan rayuan, Keem Feung menyatakan, sebarang hukuman akan menyebabkan lesen guamannya ditarik balik sedangkan dia adalah penanggung tunggal keluarga.
Shanti bagaimanapun menegaskan bahawa kesalahan yang dilakukan oleh kedua-dua tertuduh menyebabkan ramai pelabur tertipu.

Comments

Popular Posts