Kadar baru caj perkhidmatan penumpang, pendaratan

KUALA LUMPUR 27 Okt. – Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) hari ini mengumumkan ia akan melaksanakan kadar baharu bagi caj perkhidmatan penumpang (PSC) antarabangsa, caj pendaratan dan parkir pesawat bermula 15 November.

Pengendali lapangan terbang itu berkata, ia telah dimaklumkan oleh Kementerian Pengangkutan bahawa susulan semakan semula selanjutnya, kelulusan telah diberikan bagi menguatkuasakan kadar baharu itu.

MAHB berkata, kadar PSC baharu itu akan terpakai bagi tiket yang dibeli daripada 15 November dan seterusnya, manakala caj pendaratan dan parkir pesawat akan dinaikkan dalam tiga peringkat dari Januari 2012, Januari 2013 dan Januari 2014.

Bagi PSC antarabangsa, ia akan menyaksikan peningkatan kepada RM65 daripada RM51 bagi penumpang antarabangsa yang berlepas di lapangan terbang relevan dan peningkatan kepada RM32 daripada RM25 bagi penumpang antarabangsa yang berlepas di LCCT, KLIA dan di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

"Semua caj PSC lain kekal sama,” kata MAHB dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi caj pendaratan dan parkir pesawat, MAHB berkata, kenaikan yang diwartakan itu ialah pada 30 peratus bagi pendaratan dan 64 peratus bagi parkir. – Bernama

Comments