CCF: Usaha pulihkan MAS


KUALA LUMPUR 4 Okt. – Rangka Kerja Kolaborasi Komprehensif (CCF) antara Malaysian Airline Bhd. (MAS), AirAsia Bhd. dan AirAsia X adalah sebahagian daripada rancangan pemulihan MAS.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, melalui CCF, MAS berupaya menumpukan kepada usaha memperbaiki operasi serta mengukuhkan kewangan untuk menjadi syarikat berdaya maju dan berubah kepada model perniagaan pengangkutan udara yang baharu.

Katanya, model perniagaan konvensional yang dijalankan MAS selama ini tidak lagi memberi keuntungan kepada syarikat pengangkutan udara itu dan MAS perlu beralih kepada model perniagaan berasaskan pengangkutan udara tambang murah.

“MAS telah memulakan perbincangan dengan kesatuan sekerja untuk menjelaskan CCF secara terperinci dan CCF dijangka memberi manfaat kepada tiga kumpulan utama iaitu pemegang saham, orang ramai dan kakitangan,” katanya menjawab soalan Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Awang Adek memberitahu, dalam tempoh 10 tahun lalu, MAS secara keseluruhan hanya mencatatkan keuntungan RM800 juta kerana cabaran baharu yang dihadapi syarikat penerbangan tersebut dan keadaan itu perlu mendapat suntikan kerajaan bagi memastikan kewangannya stabil.

“Dalam tempoh 10 tahun lalu, MAS mencapai keuntungan sebanyak RM2.97 bilion dalam tempoh tujuh tahun tetapi dalam tempoh tiga tahun pula, ia mengalami kerugian sebanyak RM2.11 bilion,” katanya.

Awang Adek menjelaskan, tempoh CCF di antara syarikat penerbangan tersebut adalah selama lima tahun dengan pilihan untuk melanjutkan tempoh perjanjian selama lima tahun lagi.

Katanya, rangka kerja itu dapat membantu meningkatkan mutu produk dan perkhidmatan kepada pelanggan serta mengukuhkan persekitaran industri penerbangan negara.

Selain itu katanya, kerjasama berkenaan membolehkan syarikat terbabit meneroka bidang kerjasama pembelian pesawat, kejuruteraan, perkhidmatan darat dan sokongan, perkhidmatan kargo, katering serta latihan.

Comments

Popular Posts