MAS jimat 30% guna khidmat Mercator

Penggunaan penyelesaian Mercator membolehkan Malaysian Airline System Bhd. mengoptimumkan pengurusan perolehannya.

KUALA LUMPUR 13 Okt. - Malaysian Airlines System Bhd. (MAS) telah menjimatkan kos sehingga 30 peratus selepas menggunakan penyelesaian perakuan perolehan RAPID yang disediakan oleh Mercator.

Mercator merupakan sayap komersial teknologi maklumat (IT) Emirates Group.

Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Mohd. Azha Abdul Jalil berkata, MAS telah bekerjasama dengan Mercator sejak 2006 dan telah menerima manfaat daripada teknologi dan perkhidmatan biro mereka dalam menguruskan operasi penumpang.

''Dengan peningkatan jumlah penumpang sejak beberapa tahun kebelakangan ini melebihi 23 juta transaksi telah dilakukan oleh kami setiap tahun dengan kehadiran penyelesaian Mecator membolehkan MAS mengoptimumkan pengurusan perolehan.

''Kami juga akan meneruskan kerjasama ini dengan penyambungan kontrak selama tiga tahun lagi sehingga 2015.

''Ini membolehkan MAS memberi tumpuan kepada perniagaan utama kami. Mereka juga telah berjaya membantu kami dengan memberikan data yang tepat,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penghargaan Mercator yang telah menguruskan 100 juta transaksi untuk MAS di sini hari ini.

Hadir sama Naib Presiden Kanan Kewangan Emirates Group, Michael Doersam dan Naib Presiden Mercator, Duncan Alexander.

Sementara itu, Alexander berkata, dengan penggunaan penyelesaian RAPID membolehkan syarikat penerbangan di seluruh dunia untuk menggunakan sistem pemprosesan terkini.

''Dengan memberikan kepercayaan melakukan fungsi perniagaan utama dilaksanakan di Dubai, syarikat penerbangan dapat menjimatkan kos memproses tiket.

''RAPID juga berjaya melakukan transformasi data kewangan kepada sokongan keputusan yang penting dan maklumat strategik diperlukan syarikat penerbangan dan ia direka bagi keperluan setiap syarikat penerbangan tanpa mengira saiz dan di mana ia beroperasi,'' jelasnya.

Mercator juga sedang mengembangkan perniagaan di peringkat global dengan memberi perkhidmatan kepada syarikat penerbangan perkhidmatan penuh, hibrid, tambang murah di enam benua, jelasnya.

Comments