KUB Builders dapat kontrak MAHB untuk KLIA2 bernilai RM268.8j

KUALA LUMPUR 11 Okt. - KUB Builders Sdn Bhd memperoleh kontrak bernilai RM268.8 juta daripada Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bagi membangunkan terminal udara kos rendah yang baharu di Lapangan Terbang 2 Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) di Sepang.

KUB Builders, anak syarikat KUB Malaysia Bhd, bertanggungjawab membina landasan ketiga baharu sepanjang 3.96 kilometer, laluan “taxiway” yang selari dan menghubungkan taxiway lain serta lain-lain kerja yang berkaitan.

"Kami memperoleh kontrak itu selepas saingan sengit daripada pesaing lain.

Meskipun ia merupakan cabaran yang besar, matlamat kami ialah menyiapkan keseluruhan projek itu dalam tempoh yang ditetapkan dan pada masa yang sama memastikan hasil yang baik dalam keseluruhan aspek,” kata Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Mohd. Nazar Samad dalam satu kenyataan hari ini.

"Kami bangga menjadi sebahagian daripada penyumbang hab penerbangan Kuala Lumpur memandangkan ia akan menjadi hab kos rendah terbesar di rantau ini. Kami menyokong sepenuhnya agenda kerajaan dalam merangsang sektor pelancongan Malaysia yang akan menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya.

Menurut kenyataan itu, projek berkenaan dijangka mengambil masa 16 bulan dan akan menyepadukan perniagaan KUB dalam sektor operasi hartanah, kejuruteraan dan pembinaan.

Ia akan mengukuhkan kehadiran pasarannya dan terus melakukan kepelbagaian portfolio selain keupayaan untuk memperoleh projek yang serupa pada masa akan datang, katanya.

KUB Builders ialah kontrak Bumiputera Kelas A Sistem Bangunan Berindustri yang memiliki kemudahan pengeluaran komponen pratuang untuk binaan dan infrastruktur. - Bernama

Comments