10 maut pesawat TNI terhempas

Keadaan pesawat Fokker 27 yang terhempas di kompleks perumahan tentera Rajawali dekat Lapangan Terbang Halim Kusuma, Jakarta semalam.

JAKARTA 21 Jun - Sepuluh termasuk dua kanak-kanak maut apabila sebuah pesawat Fokker F-27 Skuadron Udara 2 milik Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU) terhempas di sebuah kompleks perumahan tentera di sini, hari ini.

Nahas di perumahan Rajawali, dalam kawasan Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma itu turut mengorbankan semua tujuh anak kapal pesawat berkenaan selain dua kanak-kanak berumur lapan dan tiga tahun serta seorang warga emas perempuan yang berada di sekitar kompleks perumahan tersebut.

Mangsa dikenal pasti sebagai juruterbang, Mejar Heri Setyawan; pembantu juruterbang, Paulus Adi; Leftenan Kedua, Syahroni; serta empat juruteknik iaitu Simulanto, Agus Supriyadi, Purwo dan Wahyudi.

Menurut Ketua Jabatan Penerbangan TNI-AU, Azman Yunus, pesawat latihan penerbangan itu dilaporkan terhempas pada pukul 2.45 petang waktu tempatan (3.45 petang waktu Malaysia).

Ia berlepas dari lapangan terbang sama kira-kira pukul 1.10 petang waktu tempatan (2.10 petang waktu Malaysia).

Azman berkata, pesawat Fokker F-27 itu terhempas dan patah tiga.

Jelas beliau, pihak TNI-AU masih melakukan siasatan untuk mencari punca nahas.

Dalam reaksi segera pemerintah Indonesia berhubung nahas itu, Menteri Pertahanan, Purnomo Yusgiantoro menyampaikan rasa takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terlibat.

Beliau turut berada di hospital bertemu dengan keluarga mangsa yang terkorban dalam kejadian itu.

Pesawat Fokker F-27 yang terhempas di Jakarta Timur itu digunakan oleh Indonesia sejak tahun 1966.

Ini merupakan kejadian kedua lebih sebulan selepas pesawat Sukhoi Superjet 100 terhempas di Gunung Salak, Jawa Barat pada 9 Mei lalu, mengakibatkan 45 orang terbunuh. - UTUSAN

Comments

Popular Posts