Ibu pejabat AirAsia kekal di Malaysia

SEPANG 13 Jun - AirAsia Bhd. (AirAsia) hari ini menyangkal sebarang dakwaan bahawa penubuhan pejabatnya di Jakarta kerana mempunyai agenda tertentu.

Sebaliknya, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes(gambar) menegaskan penubuhan pejabat yang bakal dijadikan pangkalan serantau itu merupakan strateginya untuk menjadikan AirAsia sebagai syarikat penerbangan nombor satu di Asia.

Beliau berkata, ibu pejabat AirAsia masih di Malaysia dan ia akan terus kekal di sini.

"AirAsia adalah syarikat penerbangan yang didaftarkan di Malaysia dengan pesawat kami didaftarkan di bawah bendera Malaysia dan syarikat ini juga disenaraikan di Bursa Malaysia. Ia tidak akan berubah.

"Kami memilih Jakarta kerana ia adalah ibu pejabat sekretariat ASEAN dan merupakan ekonomi dan negara terbesar di ASEAN.

"AirAsia mahu berada di bahagian lokasi yang bakal menawarkan pertumbuhan ekonomi.

"Kami percaya penubuhan pejabat ini bukan sahaja baik untuk perniagaan tetapi membolehkan AirAsia terus bersaing, selari dengan hala tujunya,'' jelasnya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diasak mengenai rancangan AirAsia untuk mewujudkan pejabat serantaunya di Jakarta.

Malah, beliau sama sekali menafikan keputusan AirAsia itu ada kaitan dengan 'serangan' kesatuan-kesatuan kakitangan Malaysian Airline System Bhd. (MAS) yang tidak dapat menerima pertukaran saham antara AirAsia dan MAS.

Secara sinis, Fernandes berkata: "Apa yang dilakukan oleh kesatuan-kesatuan kakitangan MAS itu sedikit pun tidak menjejaskan tidur saya".

Tambahnya, keputusan berkenaan juga membolehkan AirAsia mengambil kesempatan untuk mengukuhkan kedudukan di peringkat serantau, ketika kebanyakan pesaing fokus untuk menguasai pasaran domestik.

"Akhirnya, tiada pasaran domestik tunggal, walaupun Indonesia boleh menyaingi potensi pasaran ASEAN dengan 60 juta penduduk dan kombinasi pasaran Asia Timur dua bilion," katanya.

Katanya, pejabat AirAsia di Jakarta akan beroperasi sama dengan pejabat Ryanair di Dublin, Ireland yang menjadi pusat perancangan strategik terminal tambang murah Eropah.

"AirAsia ASEAN juga akan membantu supaya 'suara' kami didengar, kebimbangan dan rayuan kami diberi perhatian lebih dalam koridor-koridor kuasa ASEAN," ujarnya.

Fernandes berkata, AirAsia merancang untuk menambah operasinya di lima buah negara iaitu Korea, Vietnam, Kemboja, India dan China dalam dua tahun lagi.

Pada sidang media itu, beliau memberitahu pengumuman mengenai pengurusan baru serantau AirAsia akan diumumkan pada Isnin ini.

Bagaimanapun, beliau sekali lagi menafikan penyertaan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Mohammed Rashdan Yusof dalam barisan baru itu.

Comments

Popular Posts