AirAsia Japan terima pesawat pertama A320

KUALA LUMPUR 8 Jun - Pengendali penerbangan tambang murah baru Jepun, AirAsia Japan telah menerima pesawat pertama Airbus, A320 di Toulouse, Perancis.

Pengendali yang berpangkalan di Narita itu akan memulakan perkhidmatan komersialnya pada 1 Ogos depan.

Sebagai permulaan, AirAsia Japan beroperasi dengan dua buah pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Narita ke Sapporo dan Fukuoka.

Pada 3 Ogos depan, penerbangan AirAsia Japan akan bermula dari Narita ke Okinawa.

Airbus dalam kenyataan di sini berkata, AirAsia Japan akan memulakan operasi penerbangan antarabangsanya ke Seoul (Incheon) dan Pusan di Korea menjelang Oktober depan dengan empat pesawat menjelang akhir 2012.

Dua pesawat A320 milik AirAsia Japan boleh membawa 180 penumpang.

Sementara itu, Presiden AirAsia Japan, Kazuyuki Iwakata berkata, pihaknya amat gembira sewaktu mengambil pesawat baru A320.

Katanya, pihaknya menyasar untuk menyediakan peluang kepada setiap orang menggunakan penerbangan udara pada kadar tambang yang rendah.

"Dengan kabin yang selesa dan operasi yang boleh dipercayai, kami mahu menawarkan akses terbaik terutamanya kepada masyarakat awam Jepun selain memastikan mereka senang untuk melakukan penerbangan,'' ujarnya.

Ketua Pegawai Operasi Airbus, John Leahy pula berkata, pesawat A320 akan menjadi aset yang menakjubkan kepada pengendali penerbangan tambang murah seperti AirAsia Japan.

"Melalui keluarga pesawat A320 yang popular, pasaran penerbangan tambang murah Jepun mempunyai potensi untuk meningkat seperti mana yang tumbuh di Eropah dan di utara Amerika,'' jelasnya.

AirAsia Japan yang ditubuhkan pada Ogos 2011, merupakan syarikat kerjasama di antara syarikat penerbangan terbesar Jepun, Kumpulan ANA dengan pemilikan sebanyak 67 peratus dan AirAsia Bhd. menguasai 33 peratus kepentingan.

Sehingga ke hari ini, lebih 8,400 pesawat Airbus dan keluarga A320 telah dijual kepada 360 pelanggan dan pengendali penerbangan di seluruh dunia.


Comments

Popular Posts