MAS beli pesawat baru

KUALA LUMPUR 19 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia Airlines System Bhd. (MAS) memberi fokus kepada pelan penggantian pesawat sebagai inisiatif utama meningkatkan hasil dan mengurangkan kos operasi.

Menurut Perdana Menteri, sebagai langkah strategik mengembalikan keyakinan penumpang, MAS turut memperkenalkan perkhidmatan jarak jauh menggunakan pesawat A380 sebagai jenama baru mulai 1 Julai ini.

"Selain itu, bagi meningkatkan tahap kepuasan penumpang dan menjadikan MAS sebagai 'The Preferred Premium Carrier', MAS telah menambah baik perkhidmatan sedia ada seperti pemeriksaan masuk penumpang, menaik taraf lounge kelas pertama dan kelas perniagaan," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan) di Dewan Rakyat hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi mengukuhkan jaringan perkhidmatan pula, MAS akan menyertai 'Oneworld Alliance' pada akhir tahun ini.

Ia juga, kata beliau, bertujuan meningkatkan jenama MAS dalam kalangan pelanggan syarikat penerbangan lain serta meningkatkan faktor peningkatan penumpang melalui trafik tambahan.

"Secara keseluruhan strategi perniagaan yang sedang dan akan dilaksanakan melalui pelan perniagaan MAS yang holistik dijangka memberi impak positif kepada prestasi serta kedudukan kewangan MAS pada masa depan," katanya.

Dalam usaha itu juga, Najib berkata, MAS kini berusaha mengukuhkan kunci kira-kira syarikat supaya dapat membiayai perolehan pesawat baru iaitu usaha penting menjayakan strategi pemulihan syarikat.

Sementara itu, menurut beliau, MAS mencatat kerugian bersih sebanyak RM2.5 bilion tahun lalu dan RM171 juta bagi suku tahun pertama tahun ini.


Comments

Popular Posts