Cebisan mayat mangsa Sukhoi ditemui lagi

JAKARTA 29 Mei - Berikutan laporan penemuan beberapa bahagian tubuh manusia yang dipercayai cebisan mayat penumpang pesawat Sukhoi Superjet 100 bersama barang-barang milik mereka di lereng Gunung Salak, Bogor, Jawa Barat, satu pasukan mencari dan menyelamat memulakan operasi ke tempat berkenaan pagi ini.

Pasukan yang dianggotai tentera, polis, sukarelawan dan penduduk tempatan itu menuju ke tempat berkenaan sebagaimana dilapor sekumpulan pencari hasil hutan dari Cicurug, Sukabumi, semalam.

Komander Tentera Wilayah Suryakencana, Bogor, Kolonel Putranto berkata, pasukan mencari dan menyelamat itu diharap dapat mengeluarkan semua cebisan mayat bersama barang-barang milik penumpang itu dalam masa sehari.

"Kami sudah menghubungi Hospital Polis Indonesia Keramat Jati di Jakarta untuk mengenal pasti identiti cebisan mayat yang ditemui," kata Putranto.

Beliau tidak menolak kemungkinan cebisan mayat dan barang-barang milik mangsa itu beralih ke tempat lain kerana pada hari terakhir operasi oleh Badan SAR Nasional (Basarnas) baru-baru ini, hujan lebat berlaku di lokasi kejadian yang mungkin menyebabkan tanah runtuh.

Semalam, Ketua Persatuan Masyarakat Pengelola Hasil Hutan Bukan Kayu Indonesia (AMPHHBKI) cawangan Sukabumi, Junaidi Abdullah berkata, sekumpulan anggota mereka menemui cebisan mayat dan barang-barang milik penumpang pesawat itu ketika mencari hasil hutan berhampiran tempat kejadian sepanjang seminggu.

Mereka yang baru keluar dari hutan pada Sabtu lalu membawa beberapa dokumen pengenalan penumpang pesawat itu untuk dijadikan bukti penemuan dan nama-nama di dokumen ternyata merupakan mereka yang tersenarai di antara 45 penumpang pesawat berkenaan.

Mereka mendakwa menemui cebisan mayat dan barang-barang milik penumpang itu di kawasan kira-kira 500 hingga 700 meter dari tempat kejadian.

Comments

Popular Posts