Perjanjian tambahan peluang MAS sedia khidmat pada kos lebih rendah

KUALA LUMPUR 25 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Perjanjian Kerjasama Tambahan dan memorandum persefahaman (MoU) di antara Penerbangan Malaysia (MAS), AirAsia Bhd. dan AirAsia X Sdn. Bhd. memberi peluang kepada MAS menyediakan perkhidmatan pada kos yang lebih rendah.

Perdana Menteri berkata, perjanjian serta MoU bagi aktiviti perolehan, perhidmatan pembaikan dan penyelenggaraan pesawat itu juga memberi peluang kepada MAS mendapatkan terma yang lebih baik melalui perkongsian peralatan serta perkhidmatan.

Kata beliau, aktiviti tersebut membolehkan MAS berbelanja lebih bijak melalui perkongsian peralatan dan perkhidmatan serta dapat menjual rizab kapasiti syarikat penerbangan negara itu kepada syarikat penerbangan lain.

"Kerjasama atau kolaborasi perlu diteruskan bagi meningkatkan sinergi perniagan MAS melalui pengukuhan perkhidmatan dalam pasaran utama, peningkatan kendalian penumpang dan penggunaan sumber secara optimum.

"Selain itu, pelan perniagaan MAS memberi fokus kepada kejuruteraan dan penyenggaraan (M&E) sebagai langkah strategik untuk mengukuhkan potensi kejuruteraan aeroangkasa Malaysia (MAE) bukan sahaja untuk penyeliaan pesawat malah membangunkan bidang pembaikan dan pemulihan (MRO)," katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata demikian dalam jawapan bertulis kepadaWee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) (gambar) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Choo Keong ingin tahu rasional di sebalik perjanjian tambahan ketiga-tiga syarikat penerbangan berkenaan, susulan pembatalan pertukaran saham antara MAS dan AirAsia yang diumumkan 2 Mei lalu.

Perdana Menteri menegaskan, melalui perjanjian tambahan itu, bidang MAE akan lebih berdaya saing dan mampu mengukuhkan kedudukan dalam aktiviti industri penerbangan yang semakin mencabar serta berkembang pesat.


Comments

Popular Posts