AirAsia India boleh menjadi kenyataan

Tony Fernandes berucap pada sidang akhbar sempena pelancaran AirAsia Japan Co. Ltd. di Tokyo, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 1 Jun - Selepas kerajaan India menimbang membenarkan syarikat penerbangan asing menguasai kepentingan dalam syarikat penerbangan India yang bermasalah, syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia Bhd. (AirAsia), mengkaji kemungkinan memasuki negara yang mempunyai lebih 1.2 bilion orang itu.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata, AirAsia sedia meneroka peluang di India jika dasar penerbangan negara itu dipinda.

"Dasar sedia ada tidak membolehkan kami pergi ke sana (memasuki mana-mana usaha sama). Jika dasar itu dipinda, kami akan meneroka peluang itu.

"AirAsia sentiasa mencari peluang. Inilah cara bagaimana kami menubuhkan syarikat kami. India sudah pasti merupakan pasaran yang besar untuk AirAsia," katanya pada temu bual dengan Bernama.

Rabu lepas, AirAsia Japan Co Ltd., usaha sama antara All Nippon Airways Co dan AirAsia dilancarkan, menambah kepada siri syarikat penerbangan kos rendah lain seperti Thai AirAsia, Indonesia AirAsia dan AirAsia Philippines.

Sebuah unit AirAsia di India dan China dikatakan merupakan aspirasi mutlak Fernandes, tokoh yang menggerakkan syarikat penerbangan tambang rendah sejak penubuhannya pada lewat 2001.

Bulan lepas, Menteri Perdagangan dan Industri India, Anand Sharma dipetik berkata, kerajaan sedia menerima permohonan daripada industri penerbangan India dan perbincangan sedang berjalan.

AirAsia membuat penerbangan harian dari dan ke Bangalore, Tiruchirappalli, Kolkata, Kochi dan Chennai dari Kuala Lumpur. - BERNAMA


Comments

Popular Posts