Pesawat MAS A380 selamat tiba di KLIA

PESAWAT Airbus A380 milik MAS ini yang menggunakan enjin Rolls-Royce Trent 900 dan merupakan pesawat terbesar di dunia selamat mendarat di KLIA, Sepang, semalam. - BERNAMA
PUTRAJAYA 30 Mei - Pesawat baru milik Malaysian Airline System (MAS), Airbus A380 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pukul 3.30 petang hari ini seperti yang dijadualkan.
Pesawat tersebut yang berlepas dari Toulouse, Perancis semalam membawa delegasi terdiri daripada wakil-wakil Airbus dan pegawai kanan MAS diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Jauhari Yahya.
Airbus A380 iaitu pesawat terbesar di dunia yang tiba hari ini merupakan salah satu daripada enam buah pesawat yang ditempah oleh MAS.
Pegawai Perhubungan Awam MAS, Adlina Azharuddin berkata, MAS merupakan operator pesawat kelapan menerima pesawat bersaiz super jumbo itu.
''MAS juga merupakan operator pesawat pertama di dunia menerima pesawat untuk latihan sebelum kembali ke Toulouse bagi pemeriksaan terakhir," katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pesawat tersebut turut membawa sekumpulan krew kapal terdiri daripada Kapten Norshid Ali, Kapten Mohd. Seth Mohd. Ariff, Kapten Joseph Emuang Jr. dan Kapten Sumar Lee Hashim Lee.
Airbus A380 menawarkan ciri-ciri istimewa termasuk mampu menampung seramai 494 penumpang tiga kelas tempat duduk dan berupaya terbang sejauh 8,380 batu nautika atau bersamaan 15,300 kilometer.
Kemudahan di dalamnya meliputi lapan tempat duduk kelas pertama, 350 tempat duduk kelas ekonomi di bahagian dek utama, 66 tempat duduk kelas bisnes dan 70 tempat duduk kelas ekonomi di bahagian dek atas.
Sementara itu, beliau berkata, pesawat tersebut akan beroperasi sebanyak dua kali seminggu untuk penerbangan komersial dari Kuala Lumpur-London-Kuala Lumpur berkuat kuasa 1 Julai depan.
"Operasi setiap hari penerbangan pula akan bermula 25 Ogos apabila pesawat kedua menyertai operasi," katanya.
Utusan Malaysia difahamkan, MAS akan menerima empat pesawat A380 pada tahun ini manakala bakinya tahun hadapan.

Comments

Popular Posts