KLIA2: AirAsia masih tarik tali?

LAKARAN artis terminal penerbangan tambang murah KLIA2 di Sepang.

SEPANG 13 Jun - Biarpun tinggal 10 bulan lagi KLIA2 akan disiapkan, AirAsia Bhd. (AirAsia) masih belum membuat keputusan sama ada untuk memindahkan operasinya di terminal baru itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, perkara itu akan diputuskan selepas projek pembinaan KLIA2 siap nanti.

KLIA2 yang dianggarkan menelan kos sebanyak antara RM3.6 bilion hingga RM3.9 bilion dijadualkan siap pada April 2013.

"Sebagai penghuni, sudah tentu anda juga tidak akan berpindah ke 'rumah baru' sehingga ia siap, betul tak?," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sebaliknya, Fernandes berkata, AirAsia begitu prihatin terhadap banyak perkara mengenai KLIA2 terutama jambatan aero, keselamatan landasan, selain perkara-perkara yang pernah dibangkitkan oleh syarikat penerbangan tambang murah itu sebelum ini.

"AirAsia tidak akan mengulas mengenai perkara itu (perpindahan ke KLIA2) sehingga semua perkara yang dibangkitkan sebelum ini jelas," tambahnya.

Beliau berkata, isu-isu itu memang menjadi pertimbangan utama AirAsia dalam membuat keputusan perpindahan ke KLIA2 kerana tidak mahu menjejaskan model perniagaanya selama ini.

"Mana-mana syarikat tambang murah memang akan begitu prihatin dengan model dan pengurusan perniagaan, sama seperti AirAsia juga,'' ujarnya.


Comments