Kerjasama pulihkan MAS

KAKITANGAN Malaysia Airlines (MAS) menyelenggara pesawat Airbus A380 milik MAS yang selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, 30 Mei lalu.

PADA 2 Mei lalu, Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) mengumumkan pembatalan perjanjian pertukaran saham antara Malaysian Airline System Bhd. (MAS) dan AirAsia Bhd. (AirAsia).

Selepas lapan bulan pertukaran saham itu dilakukan, transaksi tersebut tidak diteruskan seperti dirancang.

Ini kerana langkah itu didapati memberi gangguan kepada pihak pengurusan untuk memulihkan MAS dan gagal mendapat sokongan daripada pihak berkepentingan seperti Kesatuan Pekerja-Pekerja Sistem Penerbangan MAS (Maseu).

Kini setelah lebih sebulan pembatalan pertukaran saham itu, MAS dilihat berada di landasan yang betul ke arah pemulihan.

Kesan paling ketara melibatkan moral pekerja yang dilihat telah meningkat. Perkara itu diakui sendiri oleh Pengerusi Maseu, Alias Aziz yang mengesahkan kakitangan syarikat itu sekarang bekerja bersungguh-sungguh.

Katanya, ahli-ahli Maseu bekerja lebih kuat bagi memastikan syarikat penerbangan kebanggaan negara itu lebih berdaya saing dan kembali mencatatkan keuntungan.

Dalam pada itu, penurunan kerugian selepas cukai sebanyak 29 peratus kepada RM171 juta untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2012 berbanding RM242 juta untuk tempoh sama tahun sebelumnya walaupun berhadapan dengan ketidaktentuan harga bahan api adalah satu petanda yang positif.

Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya ketika mengumumkan perkara itu berkata, pengurangan kerugian bersih untuk tempoh tiga bulan itu disebabkan keputusan pelan perniagaan sukar yang telah dilakukan.

"Kita telah menggantung laluan terutama jarak jauh ekoran hasil yang rendah. Ia membantu menambah baik prestasi perolehan bagi tempat duduk kilometer (RASK) tahun ke tahun," katanya.

Antara laluan jarak jauh yang telah digantung adalah Dubai, Johannesburg, Buenos Aires dan Rom.

Bagi bahagian kos, kata Ahmad Jauhari, pihaknya telah mengurangkan bil bahan bakar dengan penggunaan lebih baik disebabkan pesawat efisien bahan bakar. Bahan bakar merupakan komponen terbesar operasi iaitu sebanyak 38 peratus.

Usaha untuk mengurangkan kos operasi juga akan bertambah mudah dengan ketibaan pesawat penumpang terbesar di dunia Airbus A380 baru-baru ini yang sangat efektif dan tidak memerlukan kos operasi yang tinggi berbanding pesawat lain.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berpeluang mencuba penerbangan joyride bersama lebih 400 penumpang lain dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Pulau Langkawi pada 5 Jun lalu turut memuji prestasi pesawat berkenaan.

"Walaupun saiznya lebih besar berbanding Boeing 747, pesawat ini sangat ekonomi kerana kos penerbangannya lebih murah," katanya.

Dengan ketibaan pesawat canggih itu, MAS akan lebih mudah bersaing dengan syarikat penerbangan lain seperti Singapore Airlines (SIA) dan Cathay; bukan sahaja dari segi perkhidmatan kabinnya yang sudah diketahui umum paling terbaik di dunia tetapi juga dari segi ketepatan masa.

Pesawat baru itu beroperasi tiga kali seminggu dari KLIA ke London dan akan beroperasi setiap hari di laluan sama dengan ketibaan pesawat kedua daripada jenis sama pada Ogos ini.

Selepas ketibaan pesawat Airbus ketiga yang dijangka pada November ini, operasi penerbangannya akan dilakukan setiap hari ke Sydney, Australia.

Dengan pertambahan lebih banyak pesawat jenis itu, MAS juga merancang untuk memperluaskan lagi operasinya di rantau ini dengan memasuki pasaran Jepun dan China.

Sementara itu, usaha pemulihan juga semakin memberangsangkan dengan sokongan Maseu terhadap langkah MAS menawarkan cuti tanpa gaji kepada pekerjanya selama dua tahun melalui Program Cuti Sukarela 2012 (VLP).

Program sama yang pernah dilaksanakan oleh SIA pada Mac lalu akan membolehkan MAS mengawal kos operasinya tanpa memberhentikan terlalu banyak kakitangan.

MAS juga sedang merundingkan semula kontrak dengan para vendor bagi memastikan segala perjanjian yang dibuat sebelum ini tidak merugikan syarikat itu.

Antaranya, kontrak penyediaan makanan di antara MAS dengan LSG Sky Chefs-Brahim (LSGB) bagi mengurangkan kos yang tidak sepatutnya dibiayai oleh syarikat penerbangan itu.

Dari segi pengurusan, pelantikan Dr. Hugh Dunleavy sebagai Pengarah Komersial yang baru seperti yang dicadangkan pihak-pihak kesatuan yang mewakili kakitangan MAS adalah bertepatan.

Pengalaman beliau selama 30 tahun dengan WestJet Airlines, Lufthansa Systems, Star Alliance dan Air Canada akan membolehkannya mengenal pasti laluan penerbangan yang boleh mengembalikan keuntungan kepada syarikat itu.

Rancangan pelan pembiayaan RM9 bilion melalui sukuk bermula Jun ini pula akan membolehkan syarikat itu melakukan transformasi ke arah lebih positif membabitkan pengurangan kos operasi, pembelian pesawat baru, tawaran produk baru dan meningkatkan tahap keberkesanan untuk menyaingi pesaing.

Dalam pada itu, anak syarikat MAS, Firefly Sdn. Bhd. (Firefly) juga mempunyai perancangan transformasinya sendiri bagi meningkatkan pendapatan termasuk memperkenalkan perkhidmatan carter berjadual mingguan setiap Sabtu antara Kuala Lumpur dan Kepulauan Christmas di Australia mulai 7 Julai ini.

Firefly akan menggunakan pesawat B737-400 yang mempunyai kapasiti tempat duduk 162 untuk laluan itu.

Sementara itu, bekas Pengarah Urusan MAS, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman yang diminta mengulas pelan pemulihan itu berkata, ia menunjukkan syarikat itu telah berada di landasan betul untuk kembali mencatatkan keuntungan.

"MAS telah melalui pelbagai episod dan ia boleh diselamatkan dengan caranya tersendiri. Saya yakin ia boleh kembali bersaing dengan mengelakkan pembaziran, menghentikan penyelewengan dan mengadakan kawalan kos yang ketat," ujarnya.

Tambahnya, pengurusan MAS perlu melihat secara realistik keadaan pasaran sekarang, termasuk memperkenalkan perkhidmatan penerbangan tambang murahnya sendiri memandangkan itu yang orang ramai mahukan.

"Langkah ini akan membolehkan MAS memotong kos operasi dengan mengurangkan muatan kargo serta anak kapal di samping menghentikan pemberian makanan ketika penerbangan," katanya.

Keyakinan Abdul Aziz yang pernah menerajui syarikat penerbangan nasional itu lebih 20 tahun membuktikan ia berpeluang untuk kembali untung sekiranya semua kakitangan bekerja bersungguh-sungguh sejajar dengan slogan Malaysia Boleh.

Sehubungan itu, MAS yang kini bertatih dalam usahanya untuk kembali bernafas seharusnya mendapat sokongan semua pihak bagi membolehkannya mengharungi tempoh mencabar ini.

Kerjasama yang berterusan di antara pihak pengurusan dan kakitangan akan menjadi teras kejayaan MAS di masa hadapan. Semoga MAS berjaya menjadikan impian ini satu kenyataan.

Comments

Popular Posts