KLIA2: AirAsia tiada pilihan lain

Lakaran artis terminal syarikat penerbangan tambang murah klia2 di Sepang.

KUALA LUMPUR 14 Jun - AirAsia Bhd. (AirAsia) tidak mempunyai pilihan lain, kecuali berpindah ke KLIA2 apabila terminal baru syarikat penerbangan tambang murah itu siap sepenuhnya pada April ini.

Sumber berkata, AirAsia tiada alasan kukuh untuk tidak berpindah kerana pembinaan KLIA2 dibina atas nasihat dan spesifikasi syarikat penerbangan tambang murah itu.

Lebih kukuh lagi, terminal tambang murah sedia ada sudah cukup sesak untuk menampung keperluan jumlah penumpang yang semakin bertambah.

"Justeru, apa sahaja alasan AirAsia untuk tidak berpindah adalah tidak masuk akal," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

KLIA2 yang dianggar menelan kos antara RM3.6 bilion hingga RM3.9 bilion sudah lebih 65 peratus siap dan dijangka beroperasi sepenuhnya 1 Mei 2013.

Mengulas mengenai isu keselamatan landasan yang dibangkitkan oleh AirAsia, sumber itu berkata, landasan yang dibina di KLIA2 mengikut piawaian antarabangsa dan ia dipantau Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Berhubung isu jambatan aero, sumber berkata, setakat ini Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) tidak mengenakan sebarang paksaan kepada AirAsia.

Bagaimanapun, katanya, MAHB tidak mampu memenuhi permintaan AirAsia untuk menempatkan logistik katering di lokasi yang dikehendaki kerana tempat tersebut akan menempatkan bangunan satelit dua di KLIA2.

"MAHB perlu meletakkan bangunan satelit dua tersebut di situ untuk memenuhi kemudahan pesawat AirAsia yang banyak.

"Sudah tentu mana perkara yang utama dan penting, akan menjadi keutamaan MAHB dalam membuat sebarang pertimbangan.

"Terpulang kepada AirAsia, cuma hendak dimaklumkan bahawa KLIA2 yang sedang dibangunkan oleh MAHB adalah lapangan terbang tambang murah terbaik setakat ini dan ia bakal menjadi penanda aras kepada negara-negara lain pada masa depan," jelasnya.

Sumber berkata, sebagai pengendali lapangan terbang yang tersohor, sudah pasti MAHB tidak mahu melakukan sebarang kesalahan dalam projek yang penuh kontroversi ini.

"Semasa MAHB membina terminal tambang rendah yang ada sekarang, dunia mentertawa MAHB kerana membina dengan saiz sedemikian rupa.

"Tetapi setelah tiga tahun, saiz lapangan terbang itu sudah tidak mampu memenuhi kapasiti lima juta penumpang. Sedangkan spesifikasi asal terminal yang ada sekarang adalah atas kehendak AirAsia sendiri.

"Jadi, adakah mahu masalah sama berulang di KLIA2?. Sebagai pengendali lapangan terbang sudah tentu MAHB tidak mahu masalah yang sama berlaku lagi?," soal sumber itu lagi.

Sumber berkata, setakat yang diketahui KLIA2 akan menjadi operasi kepada sembilan syarikat serantaunya iaitu AirAsia Thailand, Indonesia, Filipina, Vietnam, Jepun, India, Korea dan AirAsia X.

Selain AirAsia, terdapat sembilan lagi syarikat penerbangan tambang murah dijangka beroperasi di KLIA2 termasuk Mandala Airlines, Cebu Pacific Air, Jetstar, Batam Airline dan Jetstar Airways.

Malah, sumber menambah, Emirates juga telah menyatakan minat untuk menjadikan KLIA2 sebagai habnya di Kuala Lumpur

Comments

Popular Posts