Airbus A380 mampu lonjak semula imej MAS

Dr. Mahathir Mohamad beramah mesra dengan penumpang pesawat baru milik MAS, Airbus A380 yang menggunakan enjin Rolls-Royce Trent 900 di KLIA, Sepang, semalam.

SEPANG 5 Jun - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yakin pembelian pesawat baru Airbus A380 oleh Malaysian Airline System (MAS) mampu melonjak semula imej syarikat penerbangan itu di peringkat antarabangsa.

Katanya, ini kerana pesawat baru itu sangat efektif dan tidak menggunakan kos operasi yang tinggi berbanding pesawat lain.

"Walaupun saiznya lebih besar berbanding Boeing 747, pesawat ini sangat ekonomi kerana kos penerbangannya lebih murah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau bersama lebih 400 penumpang pesawat Airbus itu melakukan penerbangan joyride dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Pulau Langkawi sebelum berpatah balik ke sini.

Turut hadir Pengerusi MAS, Tan Sri Md. Nor Yusof; Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya dan Ketua Pengalaman Pelanggan MAS, Datuk Mohd. Salleh Ahmad Tabrani.

Dr. Mahathir berkata, sebagai sebuah syarikat penerbangan yang sudah lama beroperasi, MAS perlu mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatannya.

"Kita mempunyai pesawat terbaik dalam dunia, tinggal lagi untuk bersaing dengan orang lain, bukan sahaja dari segi perkhidmatan kabin tetapi juga dari segi ketepatan masa, efektif dan tidak lewat," katanya.

Sementara itu, Mohd. Salleh berkata, untuk sementara waktu, pesawat itu akan beroperasi tiga kali seminggu dari KLIA ke London sebelum beroperasi setiap hari di laluan sama dengan ketibaan pesawat baru Ogos ini.

"Selepas itu, dengan ketibaan pesawat Airbus ketiga yang dijangka pada November ini kita akan mulakan operasi penerbangan setiap hari ke Sydney, Australia.

"Kita juga merancang untuk memperluaskan lagi operasi di rantau ini dengan memasuki pasaran Jepun dan China bermula hujung tahun ini," katanya.

Pesawat A380 yang merupakan terbesar di dunia itu menggunakan enjin Rolls-Royce Trent 900 dan mampu memuatkan seramai 494 penumpang serta 25 krew kabin dan juruterbang.

Comments

Popular Posts