GLC, GLIC selamatkan MAS

Pesawat baru Airbus, A380 milik Malaysian Airline System Bhd. melintasi pesawat Boeing, B747-400 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR 17 Jun - Syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat-syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) bakal menyertai Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dalam pelan pemulihan Malaysian Airline System Bhd. (MAS).

Sumber berkata, GLC dan GLIC itu akan terlibat secara langsung dalam pelan-pelan pembiayaan bernilai RM9 bilion bagi menyelamatkan MAS yang kini dalam keadaan 'cukup kritikal'.

Daripada jumlah RM9 bilion itu, sebanyak RM5.3 bilion akan diperolehi daripada syarikat khas milik Kementerian Kewangan Diperbadankan yang akan memajak enam pesawat Airbus, A380 dan dua pesawat A330.

Selain itu, MAS juga akan memperoleh RM2.5 bilion menerusi terbitan sukuk yang akan dilakukan dalam dua peringkat manakala bakinya diperoleh daripada pinjaman komersial.

"Penyertaan GLC dan GLIC ini merupakan satu usaha bersungguh-sungguh untuk memastikan MAS tidak tumbang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurut sumber, GLC dan GLIC menyertai kerajaan membantu MAS kerana berpendapat tiada jalan lain yang boleh menyelamatkannya.

"MAS kini hampir tumbang akibat masalah kewangan. Tiada mana-mana institusi perbankan atau kewangan yang berani mahu membantu MAS.

"Dalam keadaan ini, kerajaan tiada pilihan lain kecuali campur tangan melalui GLC dan GLIC," tambahnya.

Selasa lalu, KWAP melanggan terbitan Sukuk Junior Kekal peringkat pertama MAS berjumlah RM1 bilion dalam usaha meningkatkan modal asas syarikat penerbangan itu.

Sukuk yang pertama kali seumpamanya diwujudkan dalam industri penerbangan itu diuruskan oleh Maybank Investment Bank Bhd. (Maybank Investment).

Utusan Malaysia difahamkan terbitan sukuk peringkat kedua akan dilanggan antaranya oleh Khazanah Nasional Bhd., Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Permodalan Nasional Bhd. pula akan melanggan bon bernilai RM5.3 bilion untuk membiayai pembelian enam pesawat A380 dan dua A330.

Mengulas mengenai penyertaan GLC dan GLIC itu, sumber berkata, sudah tentu kerajaan memantau dengan begitu serius pelan pemulihan MAS dan yakin usaha menyelamatkan MAS pasti berjaya.

"Usaha menyelamatkan MAS adalah cukup serius dan ia adalah misi yang amat penting," ujarnya tanpa mengulas lanjut.

Ditanya mengenai pulangan daripada pinjaman itu, sumber berkata, kadar faedah jangka panjang sebanyak 6.9 peratus adalah munasabah dan ia dibuat berdasarkan keyakinan pemulihan MAS.

Ia boleh ditebus pada opsyen MAS selepas 10 tahun, dan pada setiap tarikh pengagihan selepasnya.

Comments

Popular Posts