Kembali untung 2014

Md Nor (kiri) dan Ahmad Jauhari selepas sidang media setelah menghadiri mesyuarat agung tahunan syarikat itu di Petaling Jaya, semalam.

PETALING JAYA 21 Jun - Malaysian Airline System Bhd. (MAS) terpaksa menunggu setahun lagi untuk kembali mencatatkan keuntungan daripada sasaran awal pada 2013 melalui pembaharuan pelan pemulihan perniagaan (BTP) yang diumumkan pada hari ini.

Fokus MAS pada masa ini adalah memastikan perolehan syarikat dapat dipertingkatkan dalam usaha kembali berada di landasan keuntungan pada 2014.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Jauhari Yahya berkata, pembaharuan tersebut dibuat berdasarkan perubahan landskap perniagaan mereka terutama dengan pembatalan pertukaran saham dengan AirAsia Bhd. (AirAsia).

"Sekarang merupakan fasa pelaksanaan terutama dalam penstrukturan pengurangan kos dengan mengoptimumkan sepenuh aset dan sumber bagi inisiatif pengurangan kos yang drastik.

"Sasaran kami adalah mengurangkan kos tempat duduk kilometer (CASK) sebanyak 20 peratus dan perolehan tempat duduk kilometer (RASK) sebanyak 10 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mesyuarat agung tahunan MAS di sini hari ini. Hadir sama Pengerusi MAS, Tan Sri Md. Nor Md. Yusof.

Tambah Ahmad Jauhari, MAS juga akan menyusun semula kapasiti mereka dan meningkatkan penggunaan pesawatnya dari sembilan jam ketika ini kepada 11 jam.

"Pengurangan kos yang bakal diambil akan dilihat dalam setiap aspek termasuk penyelengaraan dan pemilikan pesawat,'' jelasnya.

Beliau berkata, sokongan kakitangan dan pemegang kepentingan adalah penting untuk MAS kembali kukuh pada masa hadapan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai syarikat penerbangan premium di rantau berlumba-lumba untuk mempunyai unit tambang murah mereka sendiri, Ahmad Jauhari berkata, MAS tidak menutup pintu terhadap cadangan itu tetapi bukan pada waktu ini.

''Kami juga tidak bercadang untuk membahagi penerbangan serantau dengan menumpukan kepada syarikat penerbangan tunggal yang membawa penumpang kepada satu tempat ke tempat yang lain.

''Fokus bagi FlyFirefly Sdn. Bhd. (Firefly) adalah memanfaatkan penggunaan pesawat 'turbo prop' dengan meningkatkan kekerapan perjalanan di kawasan berhampiran di rantau ini,'' ujarnya.

Selain itu, pengumuman mengenai pengganti Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Mohammed Rashdan Mohd. Yusof yang melepaskan jawatannya akan dibuat apabila tiba waktunya.

Comments

Popular Posts