AirAsia dijangka untung 500%

Tony Fernandez (tiga kiri) dan Aireen Omar (empat kiri) bersama pegawai-pegawai kanan AirAsia lain pada majlis pengumuman Aireen sebagai Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia yang baru di Sepang, semalam.

SEPANG 18 Jun - Kumpulan AirAsia dijangka mencatatkan keuntungan antara 400 peratus hingga 500 peratus melalui penstrukturan semula pengurusan syarikat dan pembukaan operasi AirAsia di peringkat serantau dan di luar ASEAN.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tony Fernandes berkata, kumpulan syarikat juga pada waktu ini berusaha keras untuk menjadikan AirAsia sebagai jenama global.

Katanya, kejayaan kumpulan setakat ini adalah dengan penubuhan AirAsia Thailand, AirAsia Indonesia, AirAsia Philipines dan AirAsia Japan.

"Kami menjangkakan lebih banyak pembukaan operasi di negara-negara serantau.

"Selain ASEAN, kumpulan turut memberi tumpuan kepada negara-negara yang berada di utara Asia dan selatan Asia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pengumuman Aireen Omar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia yang baru di sini hari ini.

Tambah Fernandes, pihaknya memberi tumpuan kepada perkembangan AirAsia di ASEAN berikutan populasi di rantau itu melebihi 600 juta orang.

Malah, katanya, golongan kelas pertengahan juga didapati semakin berkembang di kalangan negara serantau.

"Kami masih lagi kurang memberi khidmat kepada lebih 3 bilion komuniti ASEAN dan ia merupakan potensi yang amat baik untuk syarikat terus berkembang," ujarnya.

Ketika ditanya mengenai penyenaraian AirAsia Indonesia di Bursa Saham Indonesia, Fernandes berkata, usaha meraih tawaran awam permulaan (IPO) dijangka pada Oktober depan.

Katanya, selain menyenaraikan AirAsia Indonesia, pihaknya turut merancang untuk mengembangkan operasi di negara republik itu.

"Kami melihat Indonesia sebagai sebuah pasaran penerbangan tambang murah yang amat berpotensi selain tidak mempunyai sekatan atau halangan untuk berkembang daripada pihak berkuasa negara itu,'' katanya.

Mengenai pemindahan pejabat AirAsia ASEAN di Jakarta, Fernandes berkata, kos pelaburan bagi pemindahan dan penubuhan pejabat itu kurang dari RM1 juta.

Beliau memberitahu, kewujudan pihaknya di Jakarta akan membantu usaha kumpulan untuk tumbuh dengan lebih pantas.

"Setakat ini, kami mempunyai 20 kakitangan untuk pejabat AirAsia ASEAN,'' ujarnya.

Comments

Popular Posts