mangga add

Sunday, September 16, 2012

10 syarikat sertai KLIA2

LAKARAN artis bangunan Terminal Penerbangan Tambang Murah KLIA2, Sepang.
KUALA LUMPUR 13 Sept. - Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCC), KLIA2 di Sepang, akan menjadi hos kepada 10 syarikat penerbangan tambang murah sebaik sahaja ia beroperasi pada Mei 2013, kata Ketua Pegawai Kewangan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB), Faizal Mansor.
Katanya, bagaimanapun, pengendali lapangan terbang itu masih mengalu-alukan lebih banyak syarikat penerbangan menggunakan KLIA2, kerana lapangan terbang itu berupaya menampung 45 juta penumpang setahun.
Katanya, KLIA2 direka bentuk untuk menampung semua jenis syarikat penerbangan tetapi sangat sesuai untuk model perniagaan syarikat penerbangan tambang murah.
“Sebaik lapangan terbang itu beroperasi pada Mei 2013, MAHB akan mempunyai hampir 10 syarikat penerbangan tambang murah beroperasi dari sana. Antaranya ialah Zest Airways, Lion Air, Tiger Airways, Cebu Pacific Air dan AirAsia.
“Kami mengalu-alukan lebih banyak syarikat penerbangan ke KLIA2. Lima tahun dahulu, hanya ada lima syarikat penerbangan tambang murah tetapi kini terdapat kira-kira 30 hingga 40 syarikat penerbangan tambang murah," kata Faizal kepada Bernama.
Katanya, syarikat terbaru yang akan menyertai kumpulan itu ialah Malindo Airways, yang diperkenalkan Selasa lepas, melalui usahasama antara National Aerospace and Defence Industries Sdn. Bhd. (NADI) dan PT Lion Grup.
Mengenai Malindo Airways, Faizal berkata, MAHB akan memulakan perbincangan terperinci dengan syarikat penerbangan tambang murah itu tidak lama lagi, khususnya mengenai tahap ruang dan kemudahan yang diperlukan syarikat itu di lapangan terbang baru itu nanti.
“Kami telah mengadakan persefahaman dan masih belum berbincang secara terperinci.
“MAHB mengalu-alukan syarikat penerbangan baru ke Malaysia serta ke KLIA2. Bagi sesebuah lapangan terbang, lebih banyak persaingan lebih baik," katanya.
KLIA2 dibina pada kos hampir RM4 bilion bagi menggantikan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) sementara yang dibina pada 2006.
Lapangan terbang baru itu, yang terletak kira-kira 2.0 kilometer dari terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang utama, sebaik siap akan menjadi Terminal LCC terbesar di rantau ini dengan kawasan keseluruhan 242,000 meter persegi. - BERNAMA

No comments: