mangga add

Wednesday, September 12, 2012

Penerbangan Malindo Airways

MALINDO Airways akan berkongsi kepakaran PT Lion Grup mengendalikan syarikat penerbangan Lion Air serta NADI dalam bidang penyelenggaraan dan baik pulih pesawat. - GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR 11 Sept. - Malaysia akan mempunyai sebuah lagi syarikat penerbangan tambang murah, Malindo Airways yang akan memulakan operasinya pada 1 Mei tahun depan.

Malindo Airways merupakan sebuah syarikat penerbangan baru hasil kerjasama antara National Aerospace & Defence Industries Sdn. Bhd. (NADI) dari Malaysia dan PT Lion Grup dari Indonesia.

NADI akan menguasai sebanyak 51 peratus kepentingan dalam Malindo Airways, manakala selebihnya daripada PT Lion Grup.

Buat permulaan, sebanyak 12 pesawat Boeing 737 dijangka beroperasi di bawah Malindo Airways yang menghubungkan bandar-bandar besar Indonesia ke Kuala Lumpur.

Menurut syarikat itu, Kuala Lumpur akan digunakan sebagai pusat penerbangan ke negara-negara ASEAN dan Asia, termasuk ke Thailand, China, India dan Filipina.

Pengarah Presiden PT Lion Grup, Rusdi Kirana berkata, Malindo Airways akan berpangkalan dan beroperasi di KLIA2, Sepang.

Katanya, selain Kuala Lumpur, Jakarta dan Bali di Indonesia juga akan dijadikan sebagai pusat penerbangan Malindo Airways ke Australia.

"Jadi, para penumpang dari KLIA2 boleh menggunakan Jakarta dan Bali sebagai transit ke Australia," katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media sempena majlis menandatangani perjanjian kerjasama di antara NADI dengan PT Lion Grup di sini hari ini.

Majlis itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hadir sama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, Pengerusi NADI, Tan Sri Mohamed Hashim Mohd. Ali dan Presiden NADI, Tan Sri Ahmad Johan.

PT Lion Grup merupakan kumpulan bagi syarikat-syarikat penerbangan Lion Air, Wings Air dan Batik Air.

Manakala NADI adalah merupakan syarikat penggiat utama penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) dalam negara.

Ketika ditanya adakah Malindo Airways diwujudkan untuk menyaingi AirAsia, Rusdi menjawab, syarikat penerbangannya adalah berbeza kerana ia berada di kelas pertengahan.

Jelasnya, pihaknya mahu menawarkan kadar tambang yang lebih murah berbanding syarikat pesaing yang lain.

Menurut beliau, bukan setakat tambang murah, pihaknya juga akan menawarkan penerbangan yang lebih selesa kepada para penumpang dengan kemudahan hiburan dalam penerbangan, WiFi dan ruang tempat duduk yang lebih selesa.

Selain itu, Malindo Airways turut menawarkan tempat duduk kelas perniagaan.

Ditanya sama ada Malindo Air akan memperkenalkan laluan penerbangan domestik di Malaysia, Rusdi berkata, buat permulaan, pihaknya turut merancang penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sabah.

Katanya, bilangan destinasi penerbangan domestik Malaysia akan bertambah dari semasa ke semasa.

Mengenai perkembangan lain, Rusdi berkata, pihaknya akan menambah sebanyak 12 pesawat Malindo Airways setahun dan menjadikannya kepada 100 buah pesawat dalam tempoh 10 tahun akan datang.

No comments: