Nahas pesawat Sita Air ragut 19 nyawa pendaki Everest



KATHMANDU 28 Sept. - Sebuah pesawat yang membawa sekumpulan 19 pendaki ke Gunung Everest, terbakar dan terhempas di kawasan pergunungan tersebut hari ini, membunuh semua penumpangnya termasuk tujuh rakyat Britain dan lima warganegara China.
Ketika kejadian, pesawat Sita Air tersebut dilaporkan baru dua minit berlepas dari Kathmandu menuju bandar Lukla, sebelum ia terhempas di tepi sungai, kira-kira 500 meter dari lapangan terbang.
Pegawai di Lapangan Terbang Kathmandu, Ratish Chandra Suman berkata, pesawat malang itu terhempas selepas melanggar burung hering.
Jelas beliau, juruterbang pesawat itu ada menghubungi menara kawalan, melaporkan tentang kerosakan teknikal yang dihadapi dan cuba untuk berpatah balik.
Saksi yang berada di lokasi kejadian pula berkata, mereka terdengar suara penumpang menjerit meminta tolong dan ternampak api dari bahagian sayap pesawat berkenaan sebelum ia terhempas.
"Kami masih mendengar jeritan mangsa selepas pesawat itu terhempas, namun tidak dapat membantu memadamkan kebakaran kerana bimbang pesawat akan meletup," kata suri rumah, Tulasha Pokharel, 26.
Kesemua 19 mayat juga telah dibawa keluar daripada bangkai pesawat dan kakitangan kecemasan turut mengumpul barangan peribadi mangsa bagi mengenal pasti identiti mereka.
Jurucakap polis, Binod Singh berkata, juruterbang mungkin cuba mendaratkan pesawat, namun gagal.
Nahas tersebut merupakan yang keenam berlaku di Nepal dalam tempoh dua tahun dan ia menimbulkan persoalan tentang standard keselamatan penerbangan di negara Himalaya ini. - AFP

Comments

Popular Posts