Sabah setuju hasrat AirAsia besarkan Terminal Dua



KOTA KINABALU 24 Sept. - Kerajaan negeri tidak menghalang hasrat AirAsia Bhd. (AirAsia) yang mahu memperbesarkan Terminal Dua Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sekiranya ia mampu membawa kebaikan kepada rakyat Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, bagaimanapun syarikat penerbangan tambang murah itu perlu mengambil kira beberapa perkara, termasuk mendapat kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan.
"Apa sahaja yang baik untuk Sabah, kita sentiasa sokong," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Seminar Industri Perabot di Sabah di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok; Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Datuk Madius Tangau; Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datin Nurmala Abd. Rahim dan Ketua Pengarah MTIB, Dr. Jalaluddin Harun.
Baru-baru ini Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes membayangkan syarikat itu akan tetap meneruskan operasi di Terminal Dua KKIA dan tindakan mendesaknya berpindah ke Terminal Satu KKIA akan menyebabkan para pelanggan syarikat itu menerima kesan secara langsung.
Fernandes seterusnya mencadangkan langkah terbaik bagi mengatasi masalah kesesakan di Terminal Dua adalah dengan membesarkan lagi terminal tersebut.

Comments

Popular Posts