Qatar Airways tambah kekerapan penerbangan
KUALA LUMPUR 4 Sept. - Syarikat penerbangan, Qatar Airways meningkatkan kekerapan penerbangan bagi laluan Kuala Lumpur - Doha daripada dua kali sehari kepada tiga penerbangan sehari, berkuatkuasa Ahad lalu.
Qatar Airways dalam kenyataan di sini berkata, langkah itu merupakan satu percaturan untuk memenuhi pertumbuhan bilangan penumpang yang kukuh dan peningkatan permintaan dalam sektor penerbangan.
"Pertambahan perkhidmatan penerbangan harian antara Doha dan Kuala Lumpur menawarkan pelanggan lebih banyak pilihan perjalanan ke Doha dan perhubungan yang lebih baik dengan mana-mana 118 destinasi merentasi Asia Barat, Eropah, Afrika dan negara-negara di benua Amerika.
"Penerbangan-penerbangan ini akan beroperasi menggunakan pesawat Airbus, A330-200 dengan kapasiti 260 penumpang dalam konfigurasi dua kelas iaitu dengan 24 tempat duduk kelas bisnes dan 236 tempat duduk kelas ekonomi,'' kata kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Qatar Airways, Akbar Al Baker berkata, meningkatkan kapasiti di salah satu destinasi yang paling popular di Asia Tenggara telah membuktikan tahap keyakinan pelanggan terhadap perkhidmatan kami.
"Selain melancarkan destinasi baru untuk rangkaian global kami, Qatar Airways sentiasa mencari saluran untuk meningkatkan kekerapan pada laluan sedia ada.
"Secara keseluruhannya, Malaysia dan Asia Pasifik terus kekal sebagai pasaran pertumbuhan utama untuk kami,'' ujarnya.
Tambah Al Baker, keputusan untuk meningkatkan kapasiti penerbangan syarikat merupakan kesan langsung daripada permintaan pengguna sendiri.
Katanya, langkah itu adalah tepat pada masanya kerana Qatar Airways mempunyai sasaran untuk mengukuhkan kehadirannya di rantau ini menjelang pelaksanaan dasar Langit Terbuka ASEAN pada tahun 2015.
"Qatar Airways telah menyaksikan pertumbuhan yang pesat dalam hanya 15 tahun beroperasi.
"Kami menerbangkan kumpulan pesawat moden yang terdiri daripada 110 pesawat ke-118 destinasi perniagaan dan percutian utama merentasi Eropah, Asia Barat, Afrika, Asia Pasifik, Amerika Utara dan Amerika Selatan.
Sejak awal tahun ini, Qatar Airways telah memulakan perkhidmatan ke Baku (Azerbaijan); Tbilisi (Georgia), Zagreb (Croatia), Kigali (Rwanda), Erbil (Iraq), Baghdad (Iraq), Perth (Australia), Kilimanjaro (Tanzania) bagi tahun 2012.
Dalam beberapa bulan yang akan datang, Qatar Airways akan melancarkan perkhidmatan ke beberapa destinasi baru, termasuk Yangon, Myanmar (3 OKtober); Maputo, Mozambique (31 Oktober) dan ke Belgrade, ibu negara Serbia, pada tarikh yang belum lagi diumumkan.
Comments