Saham AirAsia kembali pulih

KUALA LUMPUR 14 Sept.- Harga saham AirAsia Bhd. (AirAsia) pulih semula hari ini setelah mengalami trend penurunan selama dua hari berturut-turut sejak Rabu lalu.

Ketika ditutup jam lima petang tadi, saham syarikat penerbangan tambang murah tersebut mencatatkan peningkatan sebanyak 15 sen atau 5.08 peratus kepada RM3.10. Sejumlah 579,680,00 unit saham bertukar tangan.

Saham AirAsia menjadi perhatian pasaran apabila ia jatuh sebanyak 17 sen kepada RM3.02 pada Rabu selepas ditutup kukuh pada RM3.19 sebelumnya.

Sehari selepas itu, ia terus jatuh tujuh sen lagi kepada RM2.95.

Penganalisis melihat senario tersebut sebagai reaksi pasaran terhadap syarikat penerbangan tambang murah baharu, Malindo Airways yang dikatakan sebagai pesaing kepada AirAsia.

Malindo Airways yang merupakan hasil kerjasama antara National Aerospace & Defence Industries Sdn. Bhd. (NADI) dari Malaysia dan PT Lion Group dari Indonesia bakal memulakan operasi pada Mei depan dijangka mampu menyaingi AirAsia dari segi tambang dan tawaran perkhidmatan yang lebih kompetitif.

Ia juga bakal menjadikan KLIA 2 sebagai pangkalan operasi.

Comments

Popular Posts