'Syukur juruterbang kita cekap'

KUALA LUMPUR 15 Sept. - "Saya bersyukur Malaysia mempunyai juruterbang yang cekap. Jika tidak kerana kecekapan beliau, bayangkan apa akan berlaku pada semua 185 penumpang yang ketika itu menangis dan cemas."

Demikian kata bekas Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu, yang merupakan salah seorang penumpang pesawat Malaysia Airline System Berhad (MAS) yang terpaksa mendarat cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang hari ini setelah mengalami masalah teknikal.

Samy Vellu adalah antara penumpang yang menaiki pesawat itu dari Chennai, India dan sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum mengalami masalah.

Menurutnya, beliau dimaklumkan pesawat tersebut berada pada paras ketinggian 40,000 kaki dan tiba-tiba menempuh kawasan vakum (tanpa udara).

"Bayangkan, kita berada jauh di atas udara dan tiba-tiba angin tiada. Masa itu saya lihat semua penumpang sudah menangis. Saya pandang kanak-kanak kecil berdekatan saya sudah menangis.

"Juruterbang pesawat itu bertindak cekap kerana dia tenang mengawal keadaan. Dia turunkan pesawat ke ketinggian 30,000 kaki sebelum membuat keputusan untuk mendarat di Pulau Pinang," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysiahari ini.

Samy Vellu ketika itu dalam perjalanan pulang ke tanah air selepas menghadiri mesyuarat di Kerala, India.

Dalam kejadian pukul 8.04 pagi ini, pesawat tersebut terpaksa mendarat di Pulau Pinang selepas mengalami masalah teknikal.

Tiada kemalangan atau kecederaan dilaporkan berlaku namun berikutan kejadian itu, beberapa pesawat lain mengalami kelewatan untuk mendarat.

Samy Vellu berkata, ini merupakan pengalaman mencemaskan yang pertama dialaminya dalam tempoh lebih 31 tahun menggunakan pesawat.

"Sebagai penumpang, saya turut cemas ketika kejadian itu, namun saya sempat meminta penumpang lain supaya tidak bimbang kerana jika diizinkan Tuhan, kita akan selamat," katanya sambil menyifatkan juruterbang itu wajar diberi penghargaan oleh kerajaan kerana menyelamatkan 185 nyawa.

Comments

Popular Posts