AirAsia, Malindo bekerjasama?



Pesawat Airbus, A320-200 milik AirAsia menuju ke landasan untuk berlepas di Terminal Penerbangan Tambang Murah di Sepang. - REUTERS



KUALA LUMPUR 26 Sept. - Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia sedang berusaha membincangkan bidang yang berpotensi dilakukan kerjasama dengan pihak berkepentingan Malindo Airways yang baharu ditubuhkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, dalam hubungan ini, beliau akan menemui Presiden Pengarah PT Lion Grup, Rusdi Kirana tidak lama lagi. PT Lion Grup adalah syarikat induk Lion Air.
"Kami boleh bekerjasama dengan Malindo Airways. Saya bukan berada di sini untuk mencari musuh. Saya akan menghadiri makan malam dengan Rusdi tidak lama lagi.
"Banyak perkara yang kami boleh jalin kerjasama. Secara peribadi, saya menghormati Rusdi yang telah melaksanakan tugas yang cemerlang di Indonesia," kata Fernandes kepada pemberita selepas pelancaran Akademi Badminton AirAsia di sini hari ini.
Bagaimanapun, katanya, persaingan antara AirAsia dan Malindo Airways masih berterusan.
"AirAsia mempunyai kehadiran yang kukuh di dalam industri serantau bagi menghadapi persaingan.
"Tanpa diragui, kami akan bersaing antara satu sama lain. Saya tahu apa yang perlu dilakukan untuk mendahului," katanya.
National Aerospace and Defence Industries Sdn. Bhd. (Nadi) dan PT Lion Grup akan membentuk syarikat penerbangan tambang murah Malindo Airways, yang diambang memulakan operasi pada Mei 2013 menggunakan KLIA2 di Sepang.
Ia merancang menawarkan penerbangan di Malaysia dan Indonesia serta ke Thailand, China, India, Jepun dan Australia.
Nadi memiliki kepentingan 51 peratus di dalam Malindo Airways dan bakinya dipegang oleh Lion Grup.
Sementara itu, Fernandes berkata, AirAsia tidak teragak-agak untuk beroperasi di India jika persekitaran penerbangan dan struktur cukainya mesra dan kondusif bagi operasi syarikat penerbangan tambang murah.
Kata beliau, walaupun kerajaan India membenarkan pelaburan langsung asing sebanyak 49 peratus dalam sektor penerbangan negara itu, kos mengurus operasi penerbangan di sana masih tinggi berbanding kebanyakan negara maju.
"Inilah kehebatan AirAsia. Semua mahukan kami, namun infrastruktur dan persekitaran yang sesuai mesti disediakan untuk kami pergi ke sana (India).
"Cukai lapangan terbang masih terlalu tinggi, malah saya dengar mereka mahu menaikkan cukai, yang memaksa syarikat penerbangan menghentikan operasi ke destinasi tertentu.
"Jika semuanya berjalan lancar, rugilah kami jika tidak memasuki pasaran India, yang mempunyai lebih daripada satu bilion penduduk," katanya.
Fernandes berkata, beliau akan melawat India lewat bulan ini, namun bukan untuk perbincangan usaha sama seperti dilaporkan, tetapi untuk menerima anugerah antarabangsa India atas pencapaian cemerlang beliau dalam industri penerbangan dunia.
Beliau berkata, bidang utama yang sentiasa diberikan perhatian oleh AirAsia sebelum meneroka pasaran baharu ialah menurunkan kos.
"Atas alasan itulah syarikat sekutu AirAsia bagi penerbangan jarak sederhana dan jauh, AirAsia X, menarik diri dari terbang ke New Delhi dan Mumbai," katanya. - BERNAMA

Comments

Popular Posts