Penduduk Jepun bantah pesawat MV-22 Ospreys

TOKYO 9 Sept. - Beribu-ribu penduduk Jepun berhimpun di pulau selatan Okinawa hari ini, bagi mendesak Amerika Syarikat (AS) dan Jepun serta-merta membatalkan penempatan 12 pesawat jenis MV-22 Ospreys di pangkalan tentera AS Futenma, Okinawa.
Desakan itu dibuat selepas keselamatan pesawat tersebut dipersoalkan berikutan beberapa kemalangan berlaku sebelum ini.
Penunjuk perasaan turut mendesak pangkalan Futenma di bandar sesak, Ginowan ditutup.
Penganjur menganggarkan perhimpunan tersebut mencecah 100,000 orang, namun media tempatan pula melaporkan puluhan ribu.
"Kami tidak mahukan Osprey, pesawat paling berbahaya di dunia!" antara sepanduk yang dibawa penunjuk perasaan.
Dua perhimpunan yang sama turut diadakan di dua buah pulau kecil di kepulauan Okinawa, sementara di Tokyo, beribu-ribu penunjuk perasaan berhimpun mengelilingi bangunan Parlimen Jepun sebagai bantahan terhadap rancangan itu.
Datuk Bandar Ginowan, Atsushi Sakima memberitahu penunjuk perasaan bahawa pesawat pengangkut hibrid itu tidak terjamin keselamatannya.
April lalu, pesawat jenis itu terhempas di Maghribi menyebabkan dua terbunuh, manakala satu lagi kemalangan membabitkan pesawat itu berlaku pada Jun lalu menyebabkan lima terkorban di Florida, namun AS mendakwa kemalangan tersebut bukan disebabkan masalah mekanikal.

Comments

Popular Posts