AirFrance kaji untuk tambah penerbangan

Estee Ng (dua kanan) bersama Awal Ashaari dan Nur Sarah Marie (dua kiri) di majlis pelancaran kabin Premium Ekonomi Air France di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 18 Julai - Syarikat penerbangan Eropah, Air France akan mengkaji untuk menambah penerbangan ke Kuala Lumpur atas penerimaan yang positif terhadap perkhidmatan syarikat tersebut.
Air France kini mengendalikan tiga penerbangan mingguan ke Kuala Lumpur menggunakan pesawat Boeing 777-200.

Pengurus Malaysia Air France- KLM, Estee Ng berkata, pihaknya menyasar untuk mengkaji semula perkara itu pada November tahun ini atau April 2014.

"Sejak penerbangan pertama ke Kuala Lumpur pada 23 April lalu, kesedaran terhadap Air France sangat baik dan positif," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran kabin Premium Ekonomi Air France di Sungei Wang Plaza, di sini hari ini.

Menurut Estee, jumlah keseluruhan penumpang kapal terbang yang memasuki Perancis dan Malaysia pada tahun lalu adalah antara 110,000 dan 130,000.

Sementara itu, beliau berkata, kabin Premium Ekonomi menawarkan pengalaman istimewa kepada penumpang dengan kaunter daftar masuk khas serta 40 peratus ruang yang lebih berbanding penumpang kelas Ekonomi.

"Sempena pelancaran ini, Air France menawarkan tambang istimewa yang berharga RM5,777 termasuk cukai dan surcaj berbanding dengan tambang biasa iaitu RM7,091.

"Tawaran ini sah untuk tempahan dari 15 hingga 31 Julai untuk perjalanan ke mana-mana destinasi di Eropah hingga hujung tahun ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Air France turut menyampaikan hadiah tiket penerbangan ke Perancis kepada pemenang peraduan GadisM2, Nur Sarah Marie.


Comments

Popular Posts