Pengalaman tidak mungkin dilupakan
MELAKA 24 Julai - Seorang pelatih penerbangan berkata, dia tidak menyedari bagaimana pesawat jenis Piper PA-28 yang dinaikinya itu terhempas di perairan Selat Melaka berhampiran Masjid Selat di Pulau Melaka malam tadi.
Faeruz Kamil, 23, merupakan mangsa terakhir daripada tiga yang diselamatkan pasukan Bomba dan Penyelamat dari Jalan Kubu selepas terapung di laut hampir satu jam.
Dua lagi mangsa yang berada dalam pesawat yang sama, Kapten Sharron Yee, 27, dan seorang lagi pelatih, Soh Hsien Sheong, 22, berjaya berenang ke pantai.
Faeruz yang juga anak kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri adalah pelatih Akademi Penerbangan Malaysia (MFA) Batu Berendam dekat sini.
Katanya, mereka bertiga diketuai Kapten Sharron Yee, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Batu Berendam kira-kira pukul 7.30 malam.
"Kali terakhir saya melihat jam ialah pukul 8.10 malam dan pesawat yang dikendalikan Kapten Sharron terhempas kira-kira pada pukul 8.15 malam.
"Saya tidak ingat apa yang berlaku sebelum pesawat terhempas kerana kejadian itu berlaku begitu pantas," katanya ketika ditemui di Unit Kecemasan Hospital Melaka malam tadi.
Baginya, pengalaman itu cukup menggerunkan dan tidak mungkin dapat dilupakan seumur hidupnya.
Menceritakan detik-detik cemas sejurus pesawat yang dinaikinya terhempas, Faeruz berkata, dia pada mulanya berasa cemas tetapi menguatkan keazaman untuk terus hidup.
"Dalam keadaan kelam kabut itu, saya cuba bertenang serta mengapungkan diri dan terus menghidupkan lampu suluh sebagai isyarat untuk menarik perhatian.
"Saya menjerit meminta tolong dan bernasib baik dapat menarik perhatian kanak-kanak yang berada di Masjid Selat ketika itu dan mereka segera memberitahu jemaah masjid untuk membantu," katanya.
Faeruz berkata, arus deras menghanyutkan dia lebih jauh dari kawasan tersebut namun Sharron dan Hsien Sheong berjaya berenang ke pantai.
Menurutnya, dia mengapungkan diri hampir satu jam sebelum diselamatkan oleh bot pasukan Bomba dan Penyelamat kira-kira 400 meter dari masjid berkenaan sebelum dihantar ke hospital.
"Mujur saya masih menggunakan isyarat lampu suluh selepas dihanyutkan arus dan membantu memudahkan pasukan penyelamat," ujarnya.
Sementara itu, Hsien Sheong memberitahu, dia bersyukur kerana semua penumpang dan juruterbang pesawat ringan tersebut terselamat.
"Semasa terhempas, saya terus keluar dari pesawat tersebut dan nampak muka Sharron penuh dengan darah akibat cedera.
"Saya kemudian terus mendapatkannya dan kami berenang ke arah Masjid Selat dan diselamatkan orang ramai," katanya.
Comments