MAS tawar 13,000 tempat duduk tambahan untuk Raya

KUALA LUMPUR 26 Julai - Malaysia Airlines akan mengendalikan 80 penerbangan tambahan dan 36 penerbangan naik taraf antara Kuala Lumpur dan bandar raya di Malaysia dan Asia Tenggara untuk menampung permintaan perjalanan udara yang semakin bertambah untuk perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Penerbangan ini, yang akan beroperasi daripada 3 Ogos hingga 18 Ogos, akan menawarkan jumlah kapasiti sebanyak 17,310 tempat duduk.

Penumpang boleh menempah tiket mereka bermula hari ini, kata syarikat penerbangan kebangsaan itu dalam satu kenyataan hari ini.
Antara destinasi yang akan menikmati penerbangan tambahan adalah Kota Baharu dan Sibu, dengan masing-masing sejumlah 3,168 dan 1,660 tempat duduk, katanya.

"Kapasiti tambahan sebanyak 1,404 tempat duduk lagi boleh didapati menerusi naik taraf penerbangan sedia ada antara Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu.

"Penerbangan ke lima sektor yang berlepas dari Kuala Lumpur, iaitu Bali, Kunming, Taipei, Kota Kinabalu dan Kuantan akan menggunakan pesawat yang dinaik taraf," kata MAS.

Syarikat penerbangan kebangsaan itu juga akan menyediakan kapasiti tambahan untuk membolehkan rakyat Malaysia pulang ke tanah air untuk percutian pendek sempena musim perayaan.
Tempahan boleh dibuat menerusi semua saluran pengedaran MAS.

Bagaimanapun, untuk penerbangan perkongsian kod ke Fuzhou, penumpang perlu menghubungi nombor bebas tol 24 jam 1 300 88 3000 atau pergi ke pejabat tiket atau ejen terlantik di seluruh negara
\

Comments