TUDM diperkukuh

LOR SETAR 6 Julai - Evolusi transformasi keupayaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sentiasa diperkasa agar keupayaan pasukan keselamatan itu diperkukuhkan secara total meliputi penstrukturan organisasi, perolehan aset tempur yang canggih dan pembangunan modal insan tinggi.

Panglima Tentera Udara (PTU), Jeneral Tan Sri Rodzali Daud berkata, usaha mantap itu akan meyakinkan rakyat bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya dan TUDM khasnya benar-benar mampu melindungi kedaulatan serta kepentingan strategik negara.

"Ini telah dibuktikan dengan pencapaian warga TUDM menabur bakti di bawah panji-panji Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon dan Afghanistan serta Tim Pemantau Antarabangsa di Mindanao.

"Kecemerlangan TUDM juga terbukti semasa Ops Daulat di Sabah baru-baru ini di mana juruterbang terlatih membuktikan kecemerlangan mereka semasa mengendalikan pesawat dan persenjataan moden," katanya dalam majlis Perbarisan Penyampaian Sayap Penerbangan di Kolej Tentera Udara (KTU) di sini hari ini.
Yang turut hadir Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Mejar Jeneral Datuk Azizool Arif Abdul Ghani dan Komandan KTU, Kolonel Sardon Hassan.

Pada majlis tersebut, seramai 21 graduan Kursus Asas Penerbangan Siri 74 dan 14 graduan Kursus Asas Helikopter Siri 54/12 dianugerahkan sayap penerbangan.

Rodzali menambah, TUDM memerlukan juruterbang yang mahir, mempunyai semangat juang kental serta sentiasa mengutamakan kepentingan organisasi dan negara melebihi kepentingan peribadi.
"Segala ilmu dan latihan yang diperolehi hendaklah dimanfaat dengan sebaik mungkin dan dizahirkan dengan penuh komited bagi terus menjana kecemerlangan.

"Kemampuan dan kepakaran dalam mengendalikan pesawat yang serba moden dan canggih merupakan satu kemestian bagi setiap juruterbang TUDM terutama bagi menghadapi peperangan era moden yang kompleks pada masa kini dan akan datang," katanya.

Tiga graduan menerima anugerah terbaik ialah Leftenan Ungku Mohamad Nizam Ungku Abdul Rahman (Terbaik Penerbangan Sayap Kaku), Leftenan Khairulana Hafiy Abdullah (Terbaik Penerbangan Helikopter) dan Leftenan Mohamad Amirol Mohd. Deran (Terbaik Akademik).



Comments

Popular Posts