MASKargo tumpu makanan, farmaseutikal
PULAU PINANG 23 Julai - MASkargo Sdn. Bhd. (MASKargo) akan memberi tumpuan terhadap segmen industri makanan dan produk farmaseutikal dalam usaha untuk melebarkan sayap perniagaannya pada masa depan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Yunus Idris berkata, industri berkenaan dilihat mampu memberikan pulangan berbaloi dan stabil memandangkan eksport dan import barangan berkenaan tidak akan terjejas biarpun ekonomi dunia mengalami kelembapan.
Oleh itu katanya, MASKargo kini mula meninjau pasaran baharu bagi menarik peluang-peluang yang ada dalam segmen industri berkenaan.
"Kita lihat industri ini mampu meluaskan lagi pasaran MASKargo di masa hadapan dan setakat ini kita sedang meninjau peluang pasaran di India, Eropah, Australia, Rusia dan negara-negara bekas Soviet (CIS) yang merupakan antara pengeluar terbesar produk makanan dan farmaseutikal.
"Malah kedua-kedua industri ini juga dilihat tidak akan terjejas dalam apa juga keadaan ekonomi kerana import dan eksport makanan dan farmaseutikal tetap dilakukan biarpun keadaan ekonomi tidak begitu baik," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa anjuran MASKargo di sini malam tadi.
Beliau berkata, bagi mencapai tujuan berkenaan, pihaknya akan menyediakan kontena khas yang sesuai untuk membawa barangan berkenaan ke dalam pesawat.
Selain itu dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya sedang dalam usaha untuk meningkatkan kerjasama dengan ahli-ahli penerbangan One World bagi membolehkan MASKargo menembusi pasaran yang bukan laluan MAS dan MASKargo.
"Seperti negara-negara di Amerika Selatan, kita tidak mendarat di sana dan apabila wujud kerjasama erat dengan ahli-ahli One World, ia sudah pasti akan membuka ruang bagi membolehkan MASKargo membuat penghantaran ke negara terlibat menerusi pesawat rakan-rakan lain.
"Satu jalinan kerjasama utuh boleh diwujudkan di mana kita membuat penghantaran ke lokasi singgah Malaysia Airlines (MAS) yang tidak dilalui oleh rakan-rakan dalam One World dan begitulah sebaliknya," katanya.
Sementera itu, beliau turut memberitahu MASKargo sedang menjalankan promosi flying car bagi memberi kemudahan kepada para mahasiswa dari Sabah dan Sarawak untuk membuat penghantaran kenderaan ke Semenanjung.
Seterusnya mengulas mengenai sasaran pendapatan syarikat, Mohd. Yunus berkata, pihaknya menyasarkan perolehan pendapatan sebanyak RM2.2 bilion menjelang hujung tahun ini, berbanding perolehan RM2 bilion yang dicapai tahun lalu.
Comments