Firefly tidak akan bertolak ansur aspek keselamatan

KETUA pegawai eksekutif ATR, Filippo Bagnato (kanan) dan Ignatius Ong (left) bergambar di kokpit pesawat yang baru dibeli Firefly di Toulouse, Perancis. - BERNAMA






TOULOUSE 7 Julai - Syarikat penerbangan komuniti Malaysia, Firefly, tidak akan bertolak ansur di segi keselamatan, terutama sekali terhadap penyelenggaraan pesawat supaya ia setara dengan pesawat syarikat induknya, Malaysian Airlines System (MAS).

Ketua Pegawai Eksekutif Firefly Ignatius Ong berkata, syarikat itu sentiasa mematuhi prosedur ketat penyelenggaraan pesawat dan memastikan pesawatnya beroperasi pada keadaan optimum.
Beliau berkata demikian kepada Bernama di sini semasa menerima salah satu daripada 20 pesawat baharu Firefly, ATR 72-600, yang dibeli pada 2007 dari Avions de Transport Regional (ATR), pengeluar pesawat terbesar Perancis.

Sembilan belas lagi pesawat turboprop itu akan memasuki perkhidmatan secara berperingkat-peringkat sehingga 2019 sebagai daripada pengembangan Firefly.

Penumpang syarikat penerbangan telah berkembang daripada 100,000 orang pada 2007 kepada 1.7 juta orang pada tahun lepas.

Firefly, syarikat milik penuh MAS, memulakan operasi pada 2007 dan kini mempunyai 12 pesawat ATR 72-500, terbang ke 25 lalaun domestik dan antarabangsa ke destinasi seperti Indonesia, Singapura dan Thailand.
Ong berkata, turboprop ATR 72-600 merupakan salah satu pesawat paling selamat, yang dilengkapi dengan enjin kipas serat karbon - merupakan teknologi yang digunakan oleh pesawat fret udara tentera udara di seluruh dunia.

Pesawat ATR 72-600 yang baharu itu akan diterbangkan oleh tiga juruterbang Firefly, disertai oleh enam jurutera dan seorang pegawai Jabatan Penerbangan Awam dari Toulouse ke Kuala Lumpur.
Ia akan memulakan penerbangan komersilnya yang pertama ke Johor Baharu dari Terminal Skypark di Subang, pada 12 Julai.

Salah seorang kapten berkenaan, Kamarul Alam Radzi, 37, yang telah berkhidmat dengan Firefly selama lima tahun, berkata, pesawat itu menggunakan kipas paling canggih dan akan meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan penumpang.

Ia menampilkan inovasi terbaharu di segi keselesaan dan telah memenangi Anugerah Kabin Armonia yang direka bentuk oleh Giugiaro Design serta dilengkapi dengan tempat duduk nipis, diperbuat dari kulit yang lembut dan lampu atas yang lebih besar.

Ong berkata, pesawat itu akan membolehkan Firefly mengembangkan tawaran penerbangan serantaunya dengan menambah laluan, kekerapan dan sambungan baharu ke rantau Asean.

Sementara itu Pengurus Perhubungan Media ATR, David Vargas berkata, kipas enjin pesawat jenis itu masih digunakan oleh industri.

Katanya, pesawat ATR 72-600 boleh terbang sejauh 1,665 kilometer dengan penumpang penuh dan sesuai bagi laluan jarak dekat mengikut penerbangan sejauh 500 kilometer dan 1,000 kilometer



Comments

Popular Posts