Pesawat terhempas: Ketenangan selematkan pembantu juruterbang
MELAKA 24 Julai - Bertenang dan mengingatkan dirinya agar tidak panik mengelakkan seorang pembantu juruterbang daripada lemas dalam kejadian pesawat ringan milik Akademi Penerbangan Malaysia terhempas di perairan Selat Melaka berhampiran Masjid Selat, Pulau Melaka, di sini semalam.
Faeroz Kamil, 27, berkata, beliau berusaha mengapungkan diri dalam keadaan laut bergelora lebih sejam tanpa berpaut pada sebarang objek sebelum diselamatkan anggota bomba kira-kira 9.30 malam.
"Pada mulanya saya memang cemas sedikit tapi saya fikir saya perlu buat sesuatu agar tidak mati, jadi saya bertenang dan cuba mengapungkan diri sedaya mungkin kerana saya terlalu penat untuk berenang jauh," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Besar Melaka, di sini hari ini.
Kejadian berlaku ketika anak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri itu bersama juruterbang Kapten Sharron Yee, 27, dan rakannya Soh Hsien Shoong, 22, menjalani latihan penerbangan.
Pesawat tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka di Batu Berendam pada 7.30 malam sebelum terhempas pada 8.18 malam. - "Kali terakhir saya lihat jam menunjukkan pukul 8.10 malam sebelum tiba-tiba pesawat yang dikendalikan Kapten Sharron terhempas ke laut dan saya menjerit menyuruh mereka keluar dari pesawat sebelum ia tenggelam," kata anak kelahiran Kuching, Sarawak itu.
Mengulas lanjut, Faeroz berkata, beliau yang tidak memakai jaket keselamatan turut menggunakan lampu picit yang ada padanya untuk menarik perhatian orang awam yang berada di sekitar masjid.
Sementara itu, Soh berkata beliau bertindak keluar sebaik pesawat jenis Piper PA-28 itu terhempas di permukaan air seperti diarahkan Faeroz.
"Masa itu juga saya melihat bahagian muka Kapten Sharron berlumuran darah dan saya menarik serta menyelamatkannya keluar daripada pesawat,: katanya.
Beliau kemudian berenang bersama Sharron sehingga ke pantai berhampiran masjid sebelum diselamatkan orang ramai.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Jalan Kubu Yazid Mohd Tahir berkata, operasi mengesan bangkai pesawat tersebut dilakukan sejak 8 pagi tadi dan berjaya mengesan satu objek panjang kira-kira 200 meter dari daratan.
Kami akan menjalankan pemeriksaan bagi mengenal pasti sama ada objek itu bangkai pesawat berkenaan, katanya.
Comments