Terhempas kerana di bawah kelajuan sebenar

SAN FRANCISCO 8 Julai - Pesawat malang Boeing 777 Asiana Airline yang terhempas di sini semalam, berada di bawah tahap kelajuan sepatutnya dan juruterbang cuba menangguhkan pendaratan di saat-saat akhir sebelum melanggar tembok landasan.

Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB) Amerika Syarikat (AS) menyatakan, maklumat tersebut didapati daripada analisis awal ke atas data penerbangan dan perakam suara anak kapal yang diambil daripada bangkai pesawat terbabit.

Pengerusi NTSB, Deborah Hersman bagaimanapun enggan menyatakan kejadian itu berpunca daripada kesalahan juruterbang dan menyatakan pasukannya baru memasuki hari kedua siasatan ke atas kejadian yang menyebabkan dua penumpang rakyat China maut dan beratus-ratus orang cedera dalam penerbangan dari Seoul itu.

Katanya, berdasarkan maklumat perakam kira-kira tujuh saat sebelum kejadian, seorang anak kapal mengarahkan kelajuan ditingkatkan selepas jatuh di bawah 137 knot yang merupakan kelajuan sasaran pendaratan.

''Kira-kira empat saat sebelum terhempas, bunyi peralatan amaran boleh didengari daripada rakaman suara juruterbang memberi amaran pesawat itu akan terhenti.

Enjin pesawat kelihatan memberi tindakbalas normal kepada cubaan untuk meningkatkan kelajuan, namun satu saat sebelum terhempas, anak kapal cuba menangguhkan pendaratan dan menerbangkan semula pesawat untuk pendaratan kali kedua,'' katanya semalam.

Hersman menolak cadangan bahawa penutupan sistem pengemudian pandu arah mungkin menyumbangkan kepada kejadian itu.

Dalam pada itu, syarikat penerbangan Korea Selatan, Asiana Airlines Inc. menyatakan juruterbang yang bertanggungjawab mendaratkan pesawat itu masih berada dalam latihan untuk menerbangkan pesawat.
Seorang jurucakap Asiana Airlines Inc. berkata, penerbangan tersebut merupakan yang pertama buat juruterbang, Lee Kang-kook ke lapangan terbang tersebut menggunakan pesawat terbabit.
''Dia mempunyai banyak pengalaman menerbangkan pesawat lain ke San Francisco dan beberapa tempat lain menggunakan pelbagai pesawat termasuk Boeing 747.

''Kang-kook yang memulakan kerjayanya di Asiana sebagai pelatih pada 1994, mempunyai pengalaman penerbangan sebanyak 9,793 jam, namun hanya 43 jam untuk menerbangkan Boeing 777,'' katanya hari ini.
Beliau berkata, pembantu juruterbang, Lee Jeong-min yang mempunyai pengalaman penerbangan sebanyak 12,387 jam dengan 3,220 jam menerbangkan Boeing 777, membantu Kang-kook mendaratkan pesawat tersebut ketika kejadian.



Comments