Perkhidmatan AirAsia tarik perhatian

KUALA LUMPUR 22 Julai - Masalah berkaitan perkhidmatan syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Berhad (AirAsia) mendapat perhatian Ahli Dewan Negara yang membangkitkan perkara itu dalam sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Senator Datuk Muhamad Yusof Husin mendakwa, syarikat penerbangan itu sengaja membuatkan sekumpulan penumpang terkandas di lapangan terbang Ho Chi Minh, Vietnam.
Menurut beliau, perkara itu disaksikan beliau sendiri ketika sedang menunggu penerbangan AirAsia untuk pulang ke Malaysia baru-baru ini.

"Sekumpulan pelajar, kira-kira empat hingga lima orang datang ke kaunter untuk mendaftar masuk sejam, tetapi kaunter itu telah ditutup. Bila kaunter itu ditutup mereka rujuk ke merata tempat, kaunter AirAsia di Lapangan Terbang Ho Chi Minh, tiada siapa yang datang menolong.

"Akhirnya mereka terpaksa membeli tiket penerbangan yang ke hadapan dengan harga begitu mahal dan ini tidak sepatutnya berlaku," katanya ketika mengemukakan soalan tambahan tentang tindakan kerajaan untuk memastikan masalah itu tidak berulang.

Muhamad Yusof turut memberitahu, bagasi yang dibawanya dalam penerbangan tersebut hilang dan tidak diterima sehingga kini manakala petugas kaunter AirAsia didakwa gagal memberi penjelasan memuaskan.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi ketika menjawab soalan berkenaan menyifatkan perkara itu amat memeranjatkan dan meminta pihak berkenaan membuat laporan kepada kerajaan supaya tindakan sewajarnya boleh diambil ke atas syarikat penerbangan terbabit.

Terdahulu, bagi menjawab soalan asal Senator Datuk Chiw Ting Chai berhubung insiden membabitkan syarikat penerbangan tempatan yang tidak memberi keutamaan kepada pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada penumpang di luar negara, Ab. Aziz berkata, Kementerian Pengangkutan memandang serius terhadap isu itu.

Jelas beliau, kementerian akan mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat penerbangan tempatan yang dijadualkan pada hujung bulan ini bagi membincangkan tentang prosedur operasi standard (SOP) CSR untuk mengelakkan insiden penumpang yang terkandas di luar negara tidak diberi layanan sewajarnya seperti bantuan pengangkutan, penginapan dan makanan.

"Kementerian Pengangkutan sentiasa mengingatkan syarikat-syarikat penerbangan tempatan untuk mementingkan CSR kepada para penumpang terutama kepada penumpang yang terkandas di luar negara atas faktor-faktor kesihatan yang boleh membahayakan penumpang lain," ujarnya.

AirAsia sebelum ini dikecam pelbagai pihak berikutan tragedi malang yang menimpa seorang ibu, Izan Suhaila Mohd. Ali, 36, dan anaknya, Maryam Sofea Mohd. Reza, 14 bulan, yang didakwa tidak sihat telah dihalang menaiki pesawat AirAsia, AK 1455 untuk pulang ke negara ini dari Lapangan Terbang Ho Chi Minh, Mei lalu.



Comments

Popular Posts